Tokan ditahan selepas dikejar 5km
Kulim: Tindakan pantas tiga anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Balai Polis Kulim Hi-Tech yang mengejar kereta dipandu dalam keadaan mencurigakan berjaya menahan lelaki disyaki pengedar dadah Jalan Hi Tech 1, Kulim Hi-Tech, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 7 malam, suspek berusia 22 tahun ditahan, manakala rakannya berusia 20-an melarikan diri ke dalam semak selepas dikejar lima kilometer sebelum pemeriksaan menemui 260 gram daun ganja.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, tiga anggota URB itu yang menjalankan rondaan pencegahan jenayah mendapati kedua-dua suspek menaiki kereta Proton Wira dalam keadaan mencurigakan.
“Apabila diarah berhenti, suspek melarikan diri dan anggota URB terpaksa mengejar sejauh lima kilometer sebelum kereta suspek melanggar kereta Perodua Myvi dipandu wanita berusia 20-an menyebabkan mereka terkandas di kawasan simpang empat lampu isyarat Jalan Hi Tech 1.
“Suspek melarikan diri dengan terjun ke dalam kolam berhampiran, namun berjaya ditahan manakala rakannya melarikan diri ke dalam kawasan semak,” katanya.
Ahmad Nasir berkata, pemeriksaan dalam kereta suspek menemui satu bungkusan plastik lut sinar yang dipercayai ganja seberat 260 gram.
“Kita percaya aktiviti pengedaran dadah di sekitar Lunas hampir lumpuh dengan penahanan suspek.
“Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala polis masih memburu rakan suspek,” katanya.