Pendek tempoh penggunaan MyKad sementara
Georgetown: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dijangka memendekkan tempoh penggunaan MyKad sementara kurang daripada tempoh 30 hari berbanding tiga bulan sebelum ini.
Ketua Pengarahnya Datuk Mohd Yazid Ramli berkata, cadangan itu hasil pelaksanaan projek Hab Pencetakan Teragih MyKad (Hab DPP) yang diperkenalkan di 36 daripada 55 pejabat DPP seluruh negara.
Katanya, dua cawangan JPN negeri itu dipilih sebagai lokasi projek Hab DPP bagi memendekkan tempoh urusan pengeluaran MyKad secara berterusan di samping mampu mengurangkan kos penghantaran permohonan MyKad dari JPN Putrajaya ke setiap cawangannya.
“Kita harap tidak timbul masalah daripada segi percetakan dan proses pungutan MyKad daripada pemohon kerana sebelum ini pemohon akan menerima MyKad sementara berupa resit dan sah bagi tempoh tiga bulan.
“Menerusi sistem baru ini, kita akan tengok semula penggunaan MyKad sementara, mungkin dua atau tiga minggu,” katanya ketika ditemui di Ruang Legar JPN Pulau Pinang.
Bagi Hab JPN Pulau Pinang, mereka akan membuat cetakan bagi permohonan MyKad daripada Sub Hab JPN Balik Pulau dan JPN Bayan Baru manakala Hab JPN Bertam akan membuat cetakan bagi permohonan daripada Sub Hab JPN Butterworth, Bukit Mertajam, Jawi dan Cawangan RTC Jawi Pulau Pinang.
Mohd Yazid berkata, JPN akan membincangkan tindakan wajar terhadap pemohon yang gagal memungut MyKad mereka selepas tempoh yang diberikan.
Katanya, ia bertujuan mengelakkan kad pengenalan sudah diproses tidak dituntut.
“Ia (denda) masih dalam perbincangan kerana pada masa ini tidak ada sebarang denda dikenakan bagi kesalahan terbabit, hanya bayaran sebanyak RM10 bagi tujuan memproses kad pengenalan,” katanya.