Pesakit hepatitis C disaran jangan putus harapan
Kuala Lumpur: Bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga apabila pesakit hepatitis C yang hanya menunggu ajal tiba terpaksa pula berhempas pulas mencari sumber kewangan yang mencecah hampir setengah juta untuk menampung kos perubatan, sekali gus menyebabkan mereka hilang semangat meneruskan kehidupan.
Presiden Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Hijrah Republik, Mohd Al Khusyairi Mohd Ariff berkata, kos rawatan bagi penyakit berkenaan yang terlampau tinggi menyebabkan ada antara pesakit berkenaan buntu untuk mendapatkan rawatan susulan.
Beliau berkata, sememangnya pesakit yang mendapat penyakit berkenaan daripada pihak ketiga boleh mendapatkan ubatan secara percuma namun individu lain pula terpaksa mencari sumber kewangan bagi menampung kos perubatan terbabit.
“Masalah ini sememangnya kurang popular namun kesannya begitu ketara apabila ada antara individu yang mendapat penyakit berkenaan hilang pertimbangan atau putus harapan untuk meneruskan kehidupan kerana tidak mampu mendapatkan ubatan yang begitu tinggi kosnya.
“Setakat ini, di Malaysia terdapat lebih 400,000 pesakit hepatitis C,” katanya ketika ditemui, di sini.
Selain itu, beliau berkata, golongan lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) perlu terima dan mengikut segala yang ditetapkan serta bukannya memperjuangkan hak sama rata hingga mengelirukan serta memberikan persepsi negatif masyarakat terhadap agama Islam.
Menurutnya, Islam sudah menyatakan perbuatan berkenaan ditegah dan dilarang, malah akan mendatangkan kemudaratan kepada indidividu atau masyarakat yang mengamalkannya.
Beliau berkata, golongan berkenaan sengaja menimbulkan kemarahan dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat dengan mengeluarkan beberapa ‘fatwa’ atau bukti yang dianggap tidak munasabah semata-mata mahu perbuatan terbabit diterima oleh orang ramai.
“Republik Hijrah sebenarnya terdiri daripada golongan LGBT namun kami tetap menerima dan mengetahui perbuatan berkenaan salah di sisi agama dan tidak boleh diterima dalam masyarakat.
“Oleh itu, tidak perlulah dibahaskan atau mengadakan aktiviti berkaitan LGBT dengan niat untuk membuka hati masyarakat kerana ianya adalah perbuatan diluar norma kehidupan manusia normal.
“Kami sendiri sentiasa berusaha berubah kepada kebaikan dengan iltizam mahu menjadi individu normal walaupun naluri sebaliknya dan yang paling penting tidak membelakangkan agama,” katanya.
Menurutnya, Hijrah Republik yang ditubuhkan sejak 2015 berperanan membantu golongan LGBT menjalani kehidupan seperti individu lain iaitu melawan naluri menyukai sama jantina dan mengamalkan seks bebas.
“Perkara terbabit memang sukar ditangani namun ia sebenarnya boleh dirawat menerusi beberapa kaedah yang perlu diamalkan oleh golongan berkenaan.
“Namun, perkara paling penting adalah tidak membelakangkan agama selain menerima ketentuan atau fitrah manusia itu,” katanya.