Selesai cara keluarga
Adik-beradik PM Singapura mahu perbalahan antara mereka diselesaikan secara tertutup
dik-beradik Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong semalam mengisytiharkan ‘gencatan senjata’ berhubung perbalahan mengenai legasi bapa mereka dan berkata, mereka mahu menyelesaikan isu itu secara keluarga.
Singapura dikejutkan dengan perbalahan keluarga elit itu di media sosial berhubung masa depan rumah milik bapa mereka yang juga pengasas negara itu, Lee Kuan Yew.
“Untuk masa ini kami menghentikan pendedahan bukti lanjut di media sosial.
“Kami tidak mahu kami dan harapan bapa diserang atau disalah anggap,” kata Lee Hsien Yang, 60, dan Lee Wei Ling, 62, dalam satu kenyataan bersama.
Kuan Yew yang memerintah Singapura selama tiga dekad mahu rumah itu dirobohkan selepas dia meninggal dunia kerana tidak mahu dijadikan tempat memujanya.
Bagaimanapun, dua beradik Hsien Loong, 65, mendakwa abang mereka mahu menghalang proses meroboh rumah di 38 Oxley Road itu.
Hsien Loong dituduh mahu mengambil kesempatan terhadap legasi bapanya untuk agenda peribadi termasuk menjadikan anak lelakinya penggantinya.
“Kami merancang berbincang tanpa penglibatan peguam atau agensi kerajaan,” kata dua beradik berkenaan.
Hsien Loong sangat dihormati kerana berjaya membawa Singapura menjadi sebuah negara kota tetapi dikritik kerana pemerintahannya yang dianggap bersifat kuku besi.
Dalam ucapannya di Parlimen Isnin lalu, Hsien Loong menegaskan tuduhan terhadapnya sebagai langsung tidak berasas dan menafikan menyalah guna kuasa dan mengamalkan nepotisme.
Namun, Hsien Yang dan Wei Ling turut mendedahkan dokumen yang didakwa mereka bukti terhadap Hsien Loong dan mengulangi dakwaan pemimpin itu mahu menghalang rumah berusia 100 tahun itu diroboh.