Ketegangan di sempadan India-China berterusan Pemulauan diteruskan
China semalam menyifatkan alasan India tenteranya menyeberang sempadan negara itu kerana jalan raya dibina di kawasan berkenaan sebagai mengarut.
Beijing juga menuduh New Delhi sengaja menegangkan keadaan di sempadan kedua-dua negara itu.
Ketegangan di dataran tinggi bersebelahan Sikkim, sebuah negeri di India yang bersempadan dengan China meningkat sejak bulan lalu.
Kedua-dua negara berkongsi sempadan sepanjang 3,500 kilometer dengan sebahagian besarnya menjadi rebutan antara mereka.
Menurut China, tentera India memasuki wilayahnya, Donglang, awal Jun lalu dan menghalang kerja pembinaan jalan raya di dataran berkenaan.
Tentera kedua-dua negara itu kemudian mencabar satu sama lain di kawasan berhampiran lembah yang dikuasai China yang memisahkan India dengan Bhutan, sekutu rapat India.
India sebelum ini memberi amaran, pembinaan jalan raya berhampiran sempadan bersama mereka akan memberikan kesan keselamatan serius.
Bagaimanapun, jurucakap Kementerian Luar China, Geng Shuang, dalam sidang akhbar hariannya semalam, sekali lagi mendesak India mengundurkan askarnya bagi mengelak keadaan bertambah serius.
Geng berkata, negaranya tidak memahami alasan India yang mendakwa pembinaan jalan raya itu mengancam keselamatan.
“Kami berhak untuk membina jalan raya di wilayah kami. Mereka memasuki wilayah kami dengan alasan jalan raya itu mengancam keselamatan. Alasan yang mengarut.
“Sepanjang beberapa tahun lalu, India yang membina lebih banyak bangunan di sempadan itu dan meningkatkan kehadiran tenteranya,” kata Geng. - Reuters
Negara Arab yang memutuskan hubungan dengan Qatar berikrar mengekalkan pemulauan mereka terhadap emiriah itu.
Ketika mengumumkan keputusan berkenaan, negara terbabit juga menyelar jawapan Qatar terhadap tuntutan mereka untuk menamatkan krisis diplomatik itu yang mereka anggap ‘negatif’.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat mereka di Kaherah, Menteri Luar Mesir, Arab Saudi, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), menyuarakan rasa kesal terhadap jawapan Qatar.
Bercakap pada sidang akhbar selepas perbincangan mereka, Menteri Luar Mesir, Sameh Shoukry berkata, tindak balas Qatar terhadap syarat blok berkenaan tidak serius dan menggambarkan negara itu tidak memahami keseriusan keadaan yang berlaku. Rundingan di Kaherah itu diadakan sebulan selepas keempat-empat negara berkenaan memutuskan hubungan dengan Qatar, menuduhnya menyokong keganasan. “Pemulauan akan dikekalkan,” kata Menteri Luar Saudi, Adel al-Juberi pada sidang akhbar sama.
Keempat-empat negara itu tidak mengumumkan sekatan baru yang akan dikenakan.
Bagaimanapun, Adel berkata, mereka akan mengambil langkah selanjutnya pada masa yang sesuai.
Menteri Luar UAE, Anwar Gargash pula meramalkan Qatar akan dipencil lebih jauh.
Terdapat kebimbangan sekatan yang lebih luas akan menjejaskan ekonomi Qatar.
Antara tuntutan keempat-empat negara itu ialah Doha menamatkan sokongan kepada Ikhwanul Muslimin dan menutup stesen televisyen Al-Jazeera.
Negara berkenaan menyerahkan tuntutan 13 perkara itu kepada Qatar 22 Jun lalu dan emiriah terbabit memberikan jawapannya menerusi Kuwait Isnin lalu.
Kandungan jawapan itu tidak didedahkan.
Tetapi Menteri Luar Qatari Foreign, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani sebelum ini menyifatkan tuntutan itu tidak realistik dan tidak boleh dilaksanakan.
Qatar menafikan menyokong keganasan, sebaliknya menuduh pakatan diketuai Arab Saudi itu cuba campur tangan dalam hal ehwal kedaulatannya.
Arab Saudi dan sekutu tuduh Qatar tidak serius untuk akhiri sengketa diplomatik