Lukaku dijangka sarung jersi United IMPIAN LAMA TERCAPAI
London: Penyerang Everton dari Belgium, Romelu Lukaku dijangka menyertai Manchester United bukannya pasukan juara Chelsea dengan bayaran £75 juta (RM418 juta), menurut media Britain semalam.
Kedua-dua BBC dan Press Association melaporkan perjanjian buat pemain berusia 24 tahun itu sudah dimeterai dan Lukaku akan bersatu semula dengan Jose Mourinho, yang menjualnya kepada Everton pada 2014 dengan harga £28 juta (RM156 juta).
Everton menawarkan bekas bintang Anderlecht itu kontrak paling lumayan dalam sejarah kelab itu selepas dia menyumbat 25 gol dalam Liga Perdana musim lalu namun dia menolaknya, menyatakan dia mahu meningkat ke satu tahap lagi.
Ia menyebabkan beberapa kelab terpikat untuk mendapatkan khidmatnya dengan Chelsea menjadi pilihan awal namun Mourinho, yang mempunyai hubungan baik dengan ejennya Mino Raiola, dilihat berjaya merampasnya daripada Antonio Conte.
Jika perjanjian itu dimuktamad, kehadiran Lukaku di Old Trafford mungkin menandakan United mengendurkan hasrat mereka mengikat Alvaro Morata dari Real Madrid.
Raiola mengaut keuntungan besar sejak Mourinho mengambil alih di United tahun lalu dengan pemain termahai dunia Paul Pogba, pemain tengah menyerang Henrikh Mkhitaryan dan Zlatan Ibrahimovic, semua pemain di bawah kendaliannya, tiba di kelab itu pada 2016. - AFP
London
Penyerang Perancis, Alexandre Lacazette menganggap perpindahannya dari Lyon ke Arsenal dengan rekod bayaran kelab £46.5 juta (RM259 juta) selama lima tahun sebagai satu impian menjadi kenyataan.
Bayaran itu yang meningkat hingga £52.6 juta (RM293.6 juta) dengan beberapa penambahan mengatasi catatan £42.4 juta (RM236.6 juta) dibayar Arsenal kepada Real Madrid untuk membeli Mesut Ozil pada 2013.
“Arsenal kelab yang bermain bola sepak terbaik di England jadi saya terlalu ingin untuk datang ke sini,” kata Lacazette.
Pemain berusia 26 tahun itu dijangka berkunjung bersama skuad Gunners hujung minggu ini bagi dua aksi persahabatan di Sydney minggu depan.
Perlawanan itu diikuti dengan pertemuan menentang Bayern Munich di Shanghai minggu berikutnya.
“Ketika masa kecil dan terima kasih kepada bekas penyerang Arsenal, Thierry Henry dan pemain Perancis lain, saya sering kali mengimpikan untuk bermain dengan kelab ini jadi impian itu sudah dipenuhi.
“Saya sukakan kelab dengan sejarah dan pengurus yang sudah berada di sini dalam tempoh lama menunjukkan ia sebuah kelab yang stabil. Ada beberapa pemain Perancis di kelab ini jadi saya pasti mudah menyesuaikan diri.”
Lacazette, yang meraih 11 caps bersama Perancis, adalah penjaring gol kedua terbanyak Ligue 1 musim lalu dengan 28 gol. Dia menyumbat 129 gol dalam 275 penampilan bagi semua pertandingan buat Lyon sejak memecah pintu pasukan utama pada musim 2009-10.
Gol liganya musim lalu hanya diatasi penyerang Paris St-Germain dari Uruguay, Edinson Cavani yang menyumbat 35 gol.
Lacazette teruja bersama Arsenal, ikat kontrak lima tahun