FAM guna khidmat ‘ranking konsultan’
Kuala Lumpur: Bagi memastikan ranking Harimau Malaya sentiasa berada pada kedudukan terbaik selepas ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan sudah mendapatkan khidmat ‘ranking konsultan’ seperti mana dipraktikkan Persekutuan Bolasepak Seluruh India ketika ini.
Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, walaupun ranking pasukan negara jatuh 12 anak tangga kepada kedudukan 167 dunia dalam ranking terbaru Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), dikeluarkan semalam, ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Sebaliknya, keputusan itu memang sudah dijangka susulan kekalahan 1-2 di tangan Lubnan pada aksi pertama Kumpulan B saingan kelayakan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2019 di Stadium Larkin, bulan lalu.
“Mengenai penurunan tangga kedudukan Malaysia dalam ranking FIFA daripada 155 kepada 167 ia bukan sesuatu yang mengejutkan.
“Ia berlaku selepas pasukan kebangsaan tewas kepada Lubnan dan kemudian tiada perlawanan persahabatan disebabkan liga kita sedang berlangsung.
“Pada September nanti, kita akan mengadakan beberapa permainan persahabatan bagi mendapatkan kembali mata.
“FAM juga akan mengkaji semula jadual perlawanan dan akan melantik ‘ranking konsultan’ seperti mana dipraktikkan di India,” katanya, semalam.
Jelasnya penyokong bola sepak tempatan harus bersabar menanti segala perubahan yang akan berlaku selepas menunggu lebih 30 tahun untuk melihat FAM bangkit daripada lena.
“Tidak banyak perkara yang boleh diubah dalam masa 100 hari. Bagaimanapun ranking futsal kita meningkat ke tempat ke-64 dunia daripada 69,” katanya.