TANGISI MAYAT IBU
Suami pulang rumah tersentak lihat isteri terbujur kaku sambil anak menangis di sisi
> Betapa pilu hati seorang
suami apabila melihat isterinya terbujur kaku di atas katil sambil dua anak yang masih bayi menangis di sisi. Senario menyayat hati itu dialami suami Siti Rohana Redzuan, 36, sewaktu pulang dari kerja kira-kira jam 8.30 malam. Ketika itu, anak lelakinya yang berusia setahun tujuh bulan sedang menangis dipercayai
kelaparan, manakala bayi perempuan berusia sebulan
tersedu tanpa suara, lapor Mary Victoria Dass dan Izlaily
Nurul Ain Hussein
Pilu dan menyayat hati melihat isteri terbujur kaku di atas katil sambil dua anak yang masih bayi sedang menangis di sisinya.
Begitu situasi menyedihkan dialami Afree Mohamed, 35, suami kepada Siti Rohana Redzuan, 36, yang mati akibat paru-paru berair dan masalah jantung.
Dia menemui isterinya itu yang bertugas sebagai guru di sebuah sekolah menengah di sini kaku di atas katil sebaik pulang dari kerja kira-kira jam 8.30 malam, Selasa lalu.
Sebelum itu, Afree yang bekerja sebagai pemandu lori keluar dari rumah mereka di Taman Putri Kulai, dekat sini, kira-kira jam 6.30 pagi dan ketika itu, isterinya sedang tidur bersama dua bayi mereka.
Seorang ahli keluarga mangsa yang enggan namanya disiarkan memberitahu, mayat Siti Rohana ditemui suaminya dengan anak lelaki berusia setahun tujuh bulan menangis di sisinya dipercayai kelaparan manakala bayi perempuan berusia lebih sebulan menangis namun sudah tidak bersuara.
Difahamkan, Siti Rohana sedang berpantang selepas bersalin anak kedua dan dikatakan baru pulang ke rumah mereka dua hari..
Malah, ketika pulang ke rumah keadaan kesihatan Allahyarham baik dan tidak menunjukkan penyakit kronik.
Dia pulang ke rumah pun selepas bersalin serta berpantang di rumah keluarganya yang terletak di daerah sama.
Ketua Polis Daerah Kulai Superintendan Razak Md Said yang mengesahkan kejadian itu berkata, bedah siasat ke atas mayat mangsa semalam mendapati kematian Siti Rohana berpunca daripada paru-paru berair dan masalah jantung.
“Pasukan perubatan Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI) Kulai yang datang di lokasi mengesahkan wanita itu sudah meninggal dunia,” katanya yang mengatakan siasatan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Sementara itu, ahli keluarga mangsa memberitahu keluarga arwah tidak pernah mengabaikan penjagaannya ketika berpantang seperti digambarkan segelintir pihak di dalam media sosial.
Malah, Siti Rohana pernah dirujuk ke pusat perubatan berhampiran bagi menjalani pemeriksaan kesihatan baru-baru ini selepas mengalami komplikasi tertentu dan ditemani keluarga.
Arwah dikatakan hanya dibenarkan pulang ke rumahnya selepas beransur pulih dan kuat, malah suami tidak pernah bertegas mahu membawanya pulang ke rumah, sebaliknya membiarkan arwah berada di rumah keluarga untuk mendapatkan penjagaan sepanjang berpantang.
Ibu arwah yang menjaganya sepanjang tempoh berpantang juga terkejut dan sedih apabila dimaklumkan mengenai kejadian itu.
Dalam pada itu, beberapa rakan arwah mempertikaikan pengguna laman media sosial yang tidak menghormati sensitiviti keluarga dan berharap mereka menghentikan cemuhan.
Menurut mereka, polis dan pasukan perubatan sudah menjalankan siasatan serta bedah siasat mendapati arwah meninggal dunia akibat penyakit, jadi tidak perlulah menyalahkan orang lain hingga mengganggu keluarga.
“Manusia kini mungkin berpendidikan lebih tinggi berbanding ibu bapa mereka, malangnya mereka bukan saja tidak menyelami agama, malah tidak beradab ketika memberikan komen di laman sosial,” kata seorang rakan yang enggan dikenali kerana menghormati keluarga arwah.
Sementara itu, Afree ketika ditemui enggan mengulas berkaitan kejadian menimpa isterinya.