Harian Metro

Jangan main-main dengan Misbun!

-

lalu, bermulalah secara rasmi tugas Datuk Misbun Sidek selaku ketua jurulatih perseorang­an lelaki negara.

Daripada detik itu juga, tanggungja­wab yang dipikulnya cukup besar bukan saja untuk membimbing Datuk Lee Chong Wei, tetapi mencari pengganti kepada pemain itu apabila bersara kelak.

Sempat juga beberapa kali saya menemani Misbun ketika sesi latihan untuk melihat sendiri corak latihannya selain mengenali dengan lebih dekat barisan pemain perseorang­an lelaki negara.

Saya kerap mendengar macam-macam orang bercakap mengenai rejim latihan Misbun yang dikatakan keras sehingga memerlukan seseorang pemain itu mempunyai ketahanan fizikal dan mental yang cukup tinggi.

Kalau bukan sebab mempunyai pertalian darah dengannya pun saya juga mengaku itulah watak sebenar Misbun yang memang sangat serius ketika sesi latihan.

Tiada istilah main-main baginya kerana setiap saat ketika sesi latihan cukup berharga dan anda tidak akan dapat melihat ukiran senyuman di bibirnya sepanjang sesi latihan berkenaan.

Sebab itu saya tidak hairan apabila seawal jam 5.45 pagi Misbun sudah terpacak di tempat letak kereta Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara yang saya percaya ketika itu temannya adalah pengawal keselamata­n di akademi itu saja.

Sekitar jam 6 ke 6.15 pagi Misbun sudah menaiki tangga ke gelanggang utama untuk memulakan sesi latihan.

Apa yang beliau tahu ketika itu barisan pemainnya sudah memanaskan badan untuk memulakan sesi latihan pada hari berkenaan.

Itu adalah Misbun. Beliau masih kekal percaya sesi latihan yang keras dan jitu saja mampu menghasilk­an pemain berkualiti.

Jika itu tidak berlaku, amat sukar sekali untuknya mendidik mereka semua.

Walaupun sudah enam tahun meninggalk­an Persatuan Badminton Malaysia (BAM), karakter Misbun ketika sesi latihan tetap sama serius.

Sebab itu ada pemain yang sudah mula mengaku mereka melalui rejim latihan yang cukup berbeza di bawah bimbingan Misbun.

Ada yang mengalami kekejangan otot, kepenatan yang amat sangat dan sebagainya.

Sebab apa? Sebab mereka masih belum dapat menyesuaik­an diri dengan corak latihan Misbun.

Saya percaya lama kelamaan mereka akan dapat menyesuaik­an diri dan mempunyai ketahanan fizikal dan mental yang kuat.

Inilah aspek penting yang mahu dibentuk Misbun supaya setiap pemain dapat bertahan lama di atas gelanggang.

Jangan beranggapa­n sesi latihan ini hanya membabitka­n pemain baru dan Chong Wei dikecualik­an.

Sebenarnya, jaguh perseorang­an negara itu juga tidak terkecuali melalui rejim latihan Misbun sama seperti pemain lain.

Tapi, oleh sebab Chong Wei pernah berada di bawah bimbingan Misbun sebelum ini, maka dia lebih memahami apa yang dimahukan oleh gurunya itu.

Nasihat saya kepada pemain lain, terus cekal mengharung­i apa saja cabaran yang diberikan Misbun ketika sesi latihan.

Percayalah tiada sedikit pun terlintas di hatinya untuk menghukum anda, sebaliknya Misbun sedang mencari permata yang mampu menggegar dunia seiras Chong Wei. Jumpa lagi.

 ??  ?? MISBUN (kanan) yakin hanya latihan keras dan jitu mampu melahirkan pemain berkualiti.
MISBUN (kanan) yakin hanya latihan keras dan jitu mampu melahirkan pemain berkualiti.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia