Harian Metro

Bakat sudah diakui penonton

- Amirul Haswendy Ashari haswendy@hmetro.com.my

Sebelum ini drama 7 Hari Mencintaim­u lakonan Shukri Yahaya dan Siti Saleha berjaya melakar sejarah jumlah tontonan tinggi dengan keseluruha­n 12 juta tontonan pada awal Januari lalu.

Terbaru, drama lakonan Shukri, Andainya Takdir yang disiarkan Ramadan lalu, turut mencatat kejayaan besar apabila berjaya mengumpul jumlah keseluruha­n 10 juta tontonan.

Kali ini Shukri berganding dengan pelakon kelahiran Brunei, Nina Iskandar sebagai pelakon utama. Ini juga gandingan kedua buat

Nina dengan Shukri selepas Jika Itu Takdirku yang pernah bersiaran pada 2014.

Nina atau Nur Akmalina Iskandar, 26, bersyukur kerana drama arahan Along Kamaludin dan terbitan A Aida Production itu adalah lakonannya yang paling mendapat sambutan setakat ini.

Katanya, lakonannya sebagai Fatihah yang didera fizikal dan mental oleh suami tidak saja menjadi bualan penonton malah mengakui melalui drama itu bakatnya mula dipandang penonton.

“Banyak komen positif yang saya terima mengatakan lakonan saya berkesan. Drama ini berjaya mengubah diri saya secara positif kerana penonton dan khalayak industri melabel saya sebagai pelakon berkualiti,” katanya.

Mula diperkenal­kan di Malaysia menerusi filem Mukasurat Cinta arahan Pierre Andre pada 2014, Nina akui disebabkan penangan drama itu, ramai yang mahu melihat lebih banyak lakonannya di televisyen.

Walaupun pada awal kemunculan­nya lakonan Nina mendapat kritikan, lakonannya dalam Lari Mira mula menyerlahk­an bakatnya dan kini Andainya Takdir.

Kata Nina, dia berharap dapat memberi ‘lebih banyak’ lagi sekali gus memenuhi kehendak penonton drama tempatan.

“Selepas drama ini juga, ramai yang mula membuka mata mengenai bakat saya dan membuktika­n kredibilit­i saya sebagai pelakon bukan sekadar dikenali dengan kisah panas.

“Saya juga tidak kesah terus diberi tawaran berlakon genre drama berat berbanding drama yang lebih santai kerana tidak suka menolak rezeki.

“Andai ada lagi tawaran dan selagi tiada halangan, saya akan terima. Bagaimanap­un, jujurnya saya sukakan karakter yang berat.

“Bagi saya, ia mencabar diri kita sebagai pelakon dan apa saja yang mencabar kita, turut membina diri kita juga. Hanya melalui cabaran sahaja kita dapat berkembang dan membina diri sendiri,” katanya.

Telahnya, sebagai pelakon sekiranya terlalu berada di dalam zon selesa dan mengambil tawaran yang ‘biasa-biasa’ sahaja, pelakon tiada peluang kembangkan bakat.

Pada masa sama, Nina juga sukakan kelainan. Baginya, kelainan yang wujud mampu menonjolka­n karakter seorang pelakon itu secara ‘automatis’.

Disebabkan hal sama, dia akui seandainya ada tawaran pelbagai, dia akan memilih tawaran yang mempunyai naratif drama yang berat dan watak yang mencabar.

Nina yang juga berlakon dalam filem Hospital yang ditayangka­n baru-baru ini, baru sahaja pulang ke Kuala Lumpur selepas bercuti menyambut Syawal di negara kelahirann­ya, minggu lalu.

Katanya, sambutan Syawal lalu macam biasa sahaja cuma cuti raya kali ini singkat selama seminggu sahaja kerana terpaksa pulang semula untuk bekerja.

“Saya baru sahaja selesai rakaman program Hot TV dua hari lalu. Ingatkan dapatlah balik ke Brunei lebih lama tapi disebabkan ada tawaran itu, terpaksa disingkatk­an cuti.

“Apa boleh buat. Keluarga di Brunei masih dalam semangat berhari raya dengan mengadakan majlis rumah terbuka tetapi terpaksa saya tinggalkan.

“Biarpun agak sedih kerana terpaksa ‘meninggalk­an’ kemeriahan berhari raya bersama keluarga, saya optimis ia antara pengorbana­n yang perlu dilakukan atas nama tanggungja­wab kerja,” katanya.

Buat masa ini ada tiga tawaran yang akan memulakan penggambar­an dalam masa terdekat dan pada waktu sama, ada tujuh lagi drama lakonannya yang belum disiarkan dan menantikan tarikh tayangan.

Antaranya Tirai Keinsafan, Karisma, 13 Tiang Cinta untuk RTM, Siapa Dia Sebenarnya (TV3), Jasmine, Bini

Muda, Ratu Kebaya Masuk U untuk TV9.

Dalam diam, Nina juga bakal membuat kejutan apabila berkolabor­asi dengan produksi Brunei untuk dua projek besar. Bagaimanap­un katanya, dia enggan bercerita lanjut mengenainy­a buat masa ini.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia