Harian Metro

Misi menjejak Ramli

- Noor Atiqah Sulaiman am@hmetro.com.my

 Empat pendaki KJA berlepas ke Tehran sambung pencarian

Seramai empat pendaki Kelab Jelajah Alpine (KJA) tidak berputus asa untuk mencari rakan mereka, Ramli Abdul Majid yang hilang di Gunung Damavand, Iran pada 20 November tahun lalu.

Ketua Ekspedisi Mohd Khafiz Bachok, 39, berkata, misi mencari dan menyelamat (SAR) kelab itu akan diteruskan kerana Tehran ketika ini memasuki musim panas manakala salji yang meliputi gunung berkenaan sudah mula cair.

Menurutnya, keadaan itu secara tidak langsung memudahkan kerja menjejaki Ramli, 44, di pergununga­n berkenaan.

“Misi ini dijangka dijalankan selama 10 hari dan kami turut mendapat kerjasama daripada Pasukan Bulan Sabit Merah Tehran serta memohon bantuan kerajaan Iran bagi mempergiat­kan usaha SAR.

“Fokus kawasan carian ialah di timur Gunung Damavand bermula dari ketinggian 4,100 meter dari aras laut hingga 5,300 meter dari aras laut serta kawasan perkampung­an berdekatan,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur (klia2) sebelum berlepas ke Tehran, semalam.

Dalam pada itu, Mohd Khafiz berkata, diharapkan SAR berkenaan dapat memberi sedikit gambaran berhubung kehilangan Ramli yang kini masuk tempoh lapan bulan.

Katanya, pihaknya

juga akan mendapatka­n bantuan daripada Kedutaan Malaysia di Tehran untuk berurusan dengan kerajaan di sana bagi mendapatka­n surat rasmi berkaitan status Ramli.

Selain Mohd Khafiz, tiga pendaki lain turut terbabit dalam misi berkenaan iaitu Muhammad Illaham Ishak, 40, Azwawi Ismail, 38 dan Mohd Azraie Md Yusof, 34.

Pada 20 November tahun lalu, dua pendaki iaitu Ramli dan Syed Redzuan Syed Salim Shatri, 50, hilang selepas tidak kembali ke Kem 3 yang terletak pada ketinggian 4,200 meter.

Berikutan itu, Kementeria­n Luar bekerjasam­a dengan pihak berkuasa tempatan di Iran bagi mengesan dua rakyat Malaysia yang dilaporkan hilang di Gunung Damavand.

Pada 28 November tahun lalu, mayat Syed Redzuan ditemui di Yakhar Glacier, Gunung Damavand manakala Ramli masih gagal ditemui sehingga sekarang.

Misi terbaru ini adalah kali ketiga bagi mencari Ramli selepas kali terakhir dilaksanak­an pada 25 Disember lalu namun gagal kerana cuaca buruk menyukarka­n operasi mencari mangsa.

 ?? FOTO: MOHD FADLI HAMZAH ?? EMPAT pendaki KJA meneruskan usaha mencari dan menyelamat­kan Ramli.
FOTO: MOHD FADLI HAMZAH EMPAT pendaki KJA meneruskan usaha mencari dan menyelamat­kan Ramli.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia