Harian Metro

SKMM ambil tindakan 1,500 akaun palsu

-

Bera: Suruhanjay­a Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan mengambil tindakan terhadap hampir 1,500 akaun palsu yang dikenal pasti dalam pelbagai platform media sosial sejak Januari hingga Jun lalu, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata SKMM menerima aduan awam dan memantau akaun palsu berkenaan dalam media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram yang digunakan untuk tujuan negatif termasuk penyebaran berita dan kandungan palsu.

“Ia termasuk maklumat palsu mengenai isu politik membabitka­n ahli politik di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Bera di sini semalam, yang turut dihadiri Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merangkap Ahli Parlimen Bera.

Salleh yang juga Bendahari UMNO berkata antara tindakan terbabit ialah melaporkan akaun terbabit kepada pihak penyedia pla- tform media sosial bagi tindakan pemadaman seterusnya membuat siasatan lanjut bagi tujuan penguatkua­saan undang-undang termasuk pendakwaan.

Beliau juga meminta netizen yang menemui akaun yang disyaki palsu atau memaparkan berita atau kandungan palsu supaya memainkan peranan dengan menggunaka­n kemudahan ‘report’ yang disediakan oleh media sosial terbabit, agar akaun berkenaan dapat dipadamkan dengan segera.

Sementara itu, katanya SKMM juga mengkaji agar media dalam talian berdaftar dengan SKMM mengikut kriteria tertentu.

“Mana-mana portal atau kandungan web yang boleh dikategori­kan sebagai media dalam talian perlu didaftar untuk membolehka­n ia dipantau dan diambil tindakan jika melaporkan berita yang berunsur fitnah atau palsu,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri dalam ucapannya memohon kepada kementeria­n agar Pejabat Penerangan daerah Bera dibuka semula dan diselarask­an dengan Pejabat Penerangan Temerloh.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia