Harian Metro

Tunggu musim tamat

- Saiful Affendy Sapran saifulaffe­ndy@hmetro.com.my

Barry tegaskan keutamaan pasukan adalah bantu Hafizh peroleh keputusan terbaik

Prinsipal pasukan PETRONAS Raceline Malaysia Barry Leong menegaskan sebarang keputusan mengenai masa depan pelumba Moto2 negara Hafizh Syahrin Abdullah hanya akan diputuskan selepas berakhir Kejohanan Motosikal Dunia musim ini.

Katanya, keutamaan kini adalah memastikan Hafizh memperoleh keputusan yang baik pada baki setiap pusingan selepas ini dalam memastikan­nya menamatkan kempen musim ini di kedudukan 10 pelumba terbaik.

“Kami perlu memberikan yang terbaik untuk Hafizh pada baki perlumbaan selepas ini.

“Memang saya akui kami agak bergelut pada beberapa perlumbaan awal tapi di dua pusingan terakhir Hafizh berjaya meraih keputusan positif.

“Saya tetap yakin Hafizh mampu berada dalam kelompok 10 pelumba terbaik selepas berakhir musim ini,” katanya.

Justeru itu, Barry enggan mengulas lebih lanjut berhubung laporan menyatakan pasukan LCR Honda berminat untuk mendapatka­n Hafizh beraksi pada saingan MotoGP iaitu kategori utama dengan paling awal pada 2019.

Memetik laporan daripada sebuah laman web crash.net, Hafizh kemungkina­n akan terus kekal beraksi di Moto2 tahun depan sebelum beralih ke kelas MotoGP pada 2019 dan dikaitkan dengan pasukan LCR.

Jelas laporan itu, pengurus pasukan LCR Lucio Cecchinell­o berkata, bukanlah satu rahsia apabila kerajaan Malaysia amat berminat untuk meletakkan seorang pelumba Malaysia di kelas MotoGP.

Namun tegas Cecchinell­o, Malaysia belum lagi mempunyai seorang pelumba yang kompetitif untuk beraksi di kelas utama itu.

Bagaimanap­un beliau menyatakan Hafizh pelumba Malaysia yang sedang dipertimba­ngkan untuk meraih tempat di LCR.

Ketika ini, Hafizh yang mendapat gelaran Pescao, menduduki tempat ke-11 kedudukan pelumba Moto2 dengan mengumpul 43 mata.

Pencapaian terbaik Hafizh sepanjang beraksi pada musim penuh di Moto2 sejak 2014 adalah menamatkan saingan keseluruha­n musim lalu di tempat kesembilan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia