Harian Metro

SAMPAI BILA?

- Siti Nor Amirah Abu Bakar am@hmetro.com.my

 Penduduk Orang Asli suku Temuan kembali ke penempatan asal sementara menunggu rumah dijanjikan siap dibina

“Sepatutnya hidup kami ini sudah maju mengikut peredaran zaman dan bukannya kembali ke zaman kuno,” kata Suraiman Mela, 35, penduduk Orang Asli suku Temuan di Seksyen U11, Bukit Bandaraya, di sini.

Suraiman antara empat keluarga yang memilih untuk kembali menetap di penempatan asal mereka sementara menunggu rumah pangsapuri yang dijanjikan pemaju siap.

Katanya, dia sudah penat memikirkan nasib keluarga yang terpaksa hidup tanpa bantuan dan bekalan air bersih serta elektrik.

“Macam inilah kehidupan kami, apa yang ada kami kongsi bersama, sepatutnya, zaman moden sekarang ini kami juga sudah boleh hidup seperti orang lain di luar sana,” katanya ketika ditemui di sini kelmarin.

Harian Metro pada 18 April lalu melaporkan nasib sekumpulan 30 penduduk Orang Asli kawasan itu yang terasing apabila mengambil keputusan membina penempatan di kampung asal mereka tanpa kemudahan air dan elektrik.

Rumah mereka dibina daripada kayu, papan dan beratapkan nipah.

Setiap hari mereka perlu mengangkut air dari perigi berhampira­n untuk memasak dan minum manakala air tasik digunakan untuk mandi serta membasuh pakaian.

Sementara itu, Rizah Anak Alau, 39, berkata, dia dan keluarga buntu memikirkan bantuan perumahan seperti dijanjikan.

Malah, katanya, dia sedih memikirkan nasib anaknya yang terpaksa melalui kehidupan dalam keadaan serba kekurangan.

“Kadangkala anak saya selalu bertanya bila rumah kami hendak ada elektrik. Maklumlah hidup seperti ini, bila malam bergelap, siang pula panas.

“Seperti kanak-kanak lain, dia juga ingin merasai pengalaman menonton televisyen di rumah sendiri dan hidup dalam suasana sihat dan baik,” katanya.

Sebelum ini pemaju menyatakan syarikat itu akan memulakan kerja pembinaan rumah itu tidak lama lagi dan dijangka siap hujung tahun ini.

Sementara itu, Senator Orang Asli, Datuk Isa Ab Hamid berkata, pemaju harus bertanggun­gjawab dengan menyediaka­n kemudahan untuk masyarakat Orang Asli yang masih menunggu rumah mereka siap.

“Sekurang-kurangnya mereka boleh menyediaka­n rumah transit untuk penempatan sementara dan sepatutnya sudah lama mereka menerima faedah dan hak mereka.

“Masyarakat Orang Asli ini memang boleh bertolak ansur, bagaimanap­un saya harap pemaju tidak mengambil kesempatan atas kebaikan mereka,” katanya.

 ??  ?? SURAIMAN bersama isterinya, Siti Aminah Abdullah, 37, dan anak-anak mereka di kediaman di Bukit Bandaraya Shah Alam.
SURAIMAN bersama isterinya, Siti Aminah Abdullah, 37, dan anak-anak mereka di kediaman di Bukit Bandaraya Shah Alam.
 ??  ?? KEDIAMAN Suraiman di Bukit Bandaraya Shah Alam. SURAIMAN memeriksa jentera janaelektr­ik.
KEDIAMAN Suraiman di Bukit Bandaraya Shah Alam. SURAIMAN memeriksa jentera janaelektr­ik.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia