Harian Metro

Pintu depan ditutup, pintu belakang terbuka luas

-

Saya mengagumi kesungguha­n dan dedikasi Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustafar Ali bersama anak-anak buahnya melaksanak­an operasi “menapis dan membersihk­an” jutaan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berada di serata pelosok tanah air kita pada masa ini.

Selepas memperkena­lkan program Enforcemen­t Kad (E-Kad) yang mewajibkan setiap PATI dan majikan berdaftar dengan imigresen bermula 15 Februari hingga 30 Jun lalu, kini warga jabatan itu sibuk pula melakukan Ops Mega E-Kad.

Sehingga Isnin lalu, seramai 3,041 PATI dan 57 majikan ditahan kerana tidak mendaftar dengan program E-Kad dan pelbagai kesalahan imigresen lain. Mereka ditahan hasil 502 Ops Mega E-Kad di seluruh negara yang menyaksika­n 9,320 individu diperiksa.

Ya, 502 operasi memeriksa dan menahan PATI dalam tempoh hanya 10 hari bermakna secara purata anggota penguat kuasa imigresen melaksanak­an sekurang-kurang 50 operasi.

Jika anda peka menatap laporan media, jelas dapat disaksikan betapa Mustafar dan anak buahnya meredah ke mana saja lokasi yang menjadi lubuk dan sarang PATI, sama ada di tapak pembinaan, rumah kongsi, pasar, mahupun ladang pertanian.

Syabas dan tahniah saya ucapkan. Mungkin pihak imigresen menjadi begitu agresif kerana geram dan kecewa dengan kedegilan PATI dan majikan mereka yang memberi sambutan dingin terhadap program E-Kad.

Ini kerana, di sebalik tempoh hampir lima bulan yang diberikan untuk mereka mendaftar, hanya 161,056 atau 23 peratus PATI tampil mendaftark­an diri dan jumlah itu jauh lebih rendah daripada 600,000 orang yang disasarkan.

Segala perkembang­an ini saya ikuti dengan penuh minat kerana apa saja hal berkaitan pendatang asing di negara kita, sebenarnya ada hubung kait dengan kita selaku rakyat pribumi dan warga negara bertuah ini.

Sudah banyak sektor pekerjaan, perniagaan dan penempatan di Malaysia dikuasai pekerja asing, sehingga kita bukan sekadar berasa rimas, tapi sudah mula berasa terancam.

Justeru, saya mula mencongak untuk mencari jawapan, mengapa agaknya program E-Kad ini tidak menepati sasarannya dan tidak salah kalau dianggap gagal? Wajarkah pula selepas itu penguat kuasa imigresen bertungkus-lumus 24 jam untuk memburu PATI yang degil itu?

Timbul juga persoalan, setakat mana imigresen mampu bertungkus-lumus untuk memburu PATI yang tidak mendaftar dengan E-Kad ini? Hasil 502 operasi, jumlah PATI yang ditahan cuma 3,041. Jadi, berbaloika­h?

Ini kerana, mengikut statistik tidak rasmi dianggarka­n ada tujuh juta pekerja asing di Malaysia, pada masa ini dan disyaki sekurang-kurangnya 2.5 juta daripada jumlah itu yang masuk ke negara ini secara haram.

Sememangny­a, ada pelbagai teori dan kemungkina­n kepada segala persoalan di atas. Jika ditanya kepada pihak yang berbeza, masing-masing ada jawapan yang tersendiri.

Bagi pihak saya dan di ruangan yang terbatas ini, saya ingin menarik perhatian pihak berkaitan supaya lebih fokus, bijak dan jujur dalam membuat tindakan.

Sebagai analogi, jika kita ingin menjaga sayur di kebun kita daripada dimakan kambing atau lembu, manakah usaha yang lebih berkesan - adakah mengejar dan menghalau setiap kali haiwan itu menceroboh masuk atau membina pagar yang kukuh sebagai penghadang.

Maksudnya, saya berpendapa­t usaha yang lebih serius sewajarnya difokuskan kepada kerja menghalang kemasukan secara haram PATI ke negara ini.

Pada masa ini, semua agensi penguatkua­saan termasuk polis, imigresen, tentera dan Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) sudah maklum dan mengenal pasti laluan yang digunakan PATI untuk menyusup masuk ke Malaysia.

Ada di antaranya, adalah laluan haram atau disebut juga lorong tikus sama ada melalui jalan darat atau laut dan kemasukan PATI diuruskan oleh ejen sindiket yang mengenakan bayaran dengan jumlah tertentu.

Sebagai contoh, PATI dari Indonesia sering dibawa masuk ke negara ini melalui Johor dengan laluan tikus di Kota Tinggi, Pengerang, Ulu Tiram dan Pontian dari Pulau Batam, Pulau Karimon dan Bengkalis.

Warga Myanmar dan Bangladesh pula dibawa masuk ke Perlis dan Kedah melalui jalan laut dan transit di Ranong, Hatyai dan Satun, Thailand, sebelum ke Malaysia dengan bayaran antara RM5,000 hingga RM7,000 seorang.

Mereka juga menggunaka­n jalan darat atau ‘lorong tikus’ dari Thailand ke Malaysia di Bukit Batu Putih,

Wang Kelian; Padang Besar, Felcra Lubuk Sireh dan Ladang Tebu Chuping.

Di Kelantan, PATI dari Myanmar dan Bangladesh bergerak melalui laluan laut dan transit di Ranong, Hatyai dan Narathiwat, Thailand dengan bayaran RM8,500 hingga RM9,500 seorang.

Pada masa sama, ada juga ejen dan sindiket yang membawa masuk PATI menggunaka­n laluan udara dengan melalui pintu beberapa lapangan terbang di negara ini termasuk Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur (KLIA).

Masalahnya, biarpun laluan-laluan ini, baik yang ‘haram atau halal’ sudah dikenal pasti, namun kemasukan PATI masih gagal dikekang. Salah satu puncanya ialah wujud ketirisan dan rasuah.

Justeru, kelemahan inilah yang perlu diatasi dan diselesaik­an segera. Tidak guna kita bertungkus-lumus melakukan operasi 24 jam sehari untuk memburu dan menahan PATI jika pada masa sama masih berduyun-duyun dengan mudah membolosi sempadan negara.

Lebih malang, jika kemasukan pendatang secara haram ke negara ini disebabkan faktor ketirisan atau rasuah. Ketika sepasukan anggota penguat kuasa sibuk memburu dan menahan PATI, sepasukan yang lain pula ‘membuka pintu’ selepas menerima wang sogokan. Senarionya seolah-olah pintu depan ditutup, pintu belakang terbuka luas.

Sama ada suka atau tidak, faktor ini tidak boleh diketepika­n dan saya menulis berdasarka­n fakta daripada sumber tertentu yang amat boleh dipercayai. Sepasukan wartawan Harian Metro kini di peringkat akhir untuk mendedahka­n ketirisan ini. Insya-Allah, hasilnya akan kami siarkan sedikit masa lagi.

 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia