Harian Metro

DERITA ALICESA BERAKHIR

- Ekhwan Haque Fazlul Haque ekhwan@hmetro.com.my

 Keluarga sepakat buka alat bantuan hayat mangsa wabak rabies

“Alicesa tidak sempat melihat wajah adik bongsunya yang baru dilahirkan 11 hari lalu, saya sangat terkilan.

“Sejak menerima rawatan, anak sulung saya tidak sedarkan diri sedangkan dia begitu teruja menanti kelahiran adiknya,” kata Nody Jaon, 33.

Nody bapa kepada Alicesa Lorenna, 7, mangsa ketiga yang disahkan meninggal dunia, petang kelmarin selepas 16 hari bertarung nyawa kerana disahkan menghidap wabak rabies.

Menurutnya, anaknya digigit anjing penduduk kampung di paha kanan dan pinggul kiri ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas mandi sungai bersama rakan sekampung di Kampung Lebor, Gedong, Mei lalu.

Katanya, beberapa hari kemudian, Alicesa mula demam sebelum dibawa ke klinik kesihatan di Balai Ringin untuk rawatan, namun keadaan kesihatann­ya tidak berubah.

“Alicesa beransur sihat dan sempat meraikan Hari Gawai dan Aidilfitri, namun diserang demam semula dan ia berulang hingga saya membawanya ke Hospital Serian.

“Pada 28 Jun lalu, kami membawanya mendapatka­n rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS), tetapi dia tidak memberikan sebarang respons hingga perlu memakai alat bantuan hayat,” katanya ketika ditemui di rumah bapa mentuanya di Kampung Stutong Baru, di sini, semalam.

Nody berkata, sebagai bapa, dia tidak mahu anaknya terus ‘menderita’ kerana sedar peluang untuk Alicesa kembali sihat semakin tipis dari sehari ke sehari selepas tidak memberi sebarang tindak balas dengan rawatan yang diberikan pakar di HUS.

“Selepas berbincang dengan isteri dan ahli keluarga yang lain, kami sepakat membuka alat bantuan hayat yang dipakai Alicesa dan dia disahkan meninggal dunia jam 2.16 petang semalam (kelmarin).

“Isteri saya dalam pantang kerana baru 11 hari melahirkan anak bongsu kami, tetapi kami perlu terima kenyataan kehilangan anak sulung, namun reda dengan ketentuan ini,” katanya.

Sementara itu, datuk mangsa yang dikenali sebagai Jaon, 60-an, berkata, anjing yang mengigit cucunya bukan anjing liar sebaliknya anjing yang dipelihara dan diikat penduduk kampung.

Katanya, dia bingung bagaimana gigitan anjing itu boleh meragut nyawa cucunya, sedangkan isteri pemilik anjing itu pernah digigit anjing berkenaan, namun tidak mengalami kesan seperti Alicesa.

Mendiang Alicesa akan disemadika­n di tanah perkuburan di Siburan, hari ini selepas selesai acara penghormat­an terakhir.

Alicesa mangsa terbaru yang maut akibat wabak rabies selepas dua beradik, Monica Mazlan, 6, dan Jackson Mazlan, 4, maut akibat wabak sama 4 Julai lalu.

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia