Harian Metro

‘Doakan keselamata­n anak kami’

-

Alor Setar: “Tolong doakan keselamata­n anak kami.” Itu ungkapan tidak lekang di bibir seorang wanita, Khairuni Nan, 32, dari Kampung Semeliang, Kuala Nerang.

Raut wajahnya yang pilu menahan tangis sambil memegang al-Quran, membayangk­an betapa dugaan besar dihadapi dia dan suami apabila anak lelaki tunggal mereka, Muhammad Rusyaidi Mohamad Na’am kini bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Muhammad Rusyaidi dan rakannya, Nur Damia Nadhirah Shahrudin, kedua-duanya berusia lima tahun ditemui terapung di dalam kolam tadahan air di Batu 19, Kampung Baru Padang Lalang, Padang Terap, pada jam 3.30 petang kelmarin oleh seorang penduduk kampung.

Nur Damia Nadhirah bagaimanap­un disahkan meninggal dunia ketika tiba di Hospital Kuala Nerang (HKN) manakala Muhammad Rusyaidi tidak sedarkan diri hingga semalam dan dirawat di ICU HSB.

Khairuni yang bekerja sebagai pembantu kedai makan berkata, sebelum kejadian dia bersama rakan baiknya iaitu ibu dan bapa Nur Damia Nadhirah datang mengurut kaki untuk hari ketiga di rumah berhampira­n tempat kejadian kira-kira jam 3 petang.

Katanya, ketika kejadian suaminya, Mohamad Na’am Othman, 37, yang bekerja sebagai pengawal keselamata­n di Kolej Mara tidak ikut serta.

“Waktu itu ramai orang dan terpaksa menunggu giliran untuk berurut manakala Rusyaidi yang dibawa bersama leka bermain dengan rakannya di luar rumah.

“Selepas beberapa ketika saya tersedar apabila anak senyap dan terus memanggil namanya tetapi tidak bersahut.

“Saya kemudian keluar mencarinya di sekitar kawasan rumah tetapi masih tidak berjumpa sebelum seorang pemotong rumput berlari ke arah kolam dan ternampak budak perempuan (Nur Damia Nadhirah) timbul di tengah kolam.

“Lelaki itu terjun ke dalam kolam dan membawa mangsa ke darat. Saya ikut terjun untuk mencari anak, namun kolam itu dalam dan terpaksa naik semula kerana hampir lemas,” katanya ditemui di HSB, semalam.

Menurut Khairuni, anaknya kemudian ditemukan penduduk di dasar kolam.

“Muka anak penuh dengan tanah (selut) waktu itu dan sebaik dibawa ke darat dia tidak sedarkan diri. Saya terus membawanya ke HKN untuk rawatan sebelum dirujuk ke HSB jam 11 malam semalam (kelmarin),” katanya.

Dalam perkembang­an sama, Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, Muhammad Rusyaidi diberi rawatan di Jabatan Kecemasan HKN sebelum dirujuk ke Jabatan Pediatrik HSB dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di bawah pengawasan pakar.

“Keadaan kanak-kanak terbabit semasa diterima di Jabatan Pediatrik HSB adalah dalam keadaan sangat kritikal.

“Dia kini masih di bawah penjagaan pakar di ICU dan dalam keadaan sangat kritikal,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia