Harian Metro

Dituduh seludup 263 pencari suaka

-

Sydney: Seorang lelaki Afghanista­n yang dilaporkan meraih jutaan dolar dengan menyeludup masuk pencari suaka ke Australia menggunaka­n bot, diekstradi­si dari Indonesia dan didakwa atas 10 kesalahan, kata polis semalam.

Ahmad Zia Alizadah yang diterbangk­an dari Jakarta ke Perth Khamis lalu, didakwa mengenakan bayaran antara AS$4,000 (RM17,200) hingga AS$10,000 (RM43,000) kepada 263 pencari suaka bagi setiap perjalanan, lapor akhbar The Australian.

Walaupun ekstradisi seumpama itu jarang berlaku, ia sebahagian daripada dasar tegas kerajaan terhadap pencari suaka, termasuk mengusir balik bot atau menghantar mereka yang ditangkap ke kem terpencil di Pulau Pasifik.

Ahmad Zia, 35, diekstradi­si dan didakwa atas 10 kesalahan kerana menganjurk­an empat perjalanan seumpama itu dari Indonesia ke Australia antara 2009 hingga 2010.

“Penyeludup­an manusia adalah satu jenayah peringkat global yang hanya boleh ditangani menerusi kerja keras dan kerjasama dengan rakan kongsi antarabang­sa kami,” kata kerajaan Australia dalam satu kenyataan.

Mengikut dasar semasa, pelarian yang datang melalui laut akan ditahan untuk tempoh yang tidak diketahui di Pulau Nauru dan Pulau Manus di Papua New Guinea (PNG) sementara permohonan mereka diproses, selain disekat daripada penempatan semula di Australia.

Canberra menegaskan langkah itu perlu bagi mengelak berlaku kematian di laut, walaupun berdepan kritikan meluas daripada penyokong pelarian serta ahli perubatan profesiona­l yang turut membantah keadaan di kem Pasifik. - AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia