Harian Metro

JIHYO KESAYANGAN NAZIRUL

 Pertahanan kental Bos Gaurus miliki tujuh kucing baka Parsi

- Saiful Affendy Sapran saifulaffe­ndy@hmetro.com.my

Mengenali Nazirul Naim Che Hashim pastinya perkara pertama terlintas di fikiran adalah dia sebagai pemain bola sepak kebangsaan yang begitu kental di benteng pertahanan.

Mengukir nama sejak beraksi dengan pasukan Harimau Muda A di bawah bimbingan Datuk Ong Kim Swee, pemain kelahiran Perak itu terus mengukir nama dan menjadi pilihan untuk mewakili Harimau Malaysia.

Namun tiada siapa pernah terfikir bagaimana sisi hidupnya ketika di luar padang.

Meskipun mempunyai karakter kental di atas padang, Nazirul hakikatnya seorang individu yang mempunyai sifat kasih sayang tinggi terhadap haiwan khususnya kucing.

Jadi tidak hairan dia mempunyai hobi cukup menarik - membela kucing Parsi di kediamanny­a di Ipoh.

Jelas Nazirul, keinginan untuk membela kucing bukan baru, sebaliknya minat itu terdidik sejak zaman kanak-kanak lagi.

“Hobi membela kucing memang sudah lama. Lagipun orang tua saya juga suka kucing.

“Tapi saya hanya mula serius membela kucing apabila bermain bersama Perak sebab boleh tempatkan kucing-kucing ini di rumah sendiri.

“Sebelum ini saya duduk di hostel, jadi tidak dibenarkan untuk membela kucing,” katanya.

Bagi pemain berusia 24 tahun itu, setakat ini dia membela tujuh kucing dengan kesemuanya adalah dari baka Parsi.

“Saya sudah menjual tiga kucing kepada rakan-rakan yang berminat. Bukan tak sayang, tapi kalau banyak sangat sukar untuk saya menjaganya.

“Saya pula sibuk dengan karier sebagai pemain bola manakala isteri baru saja melahirkan anak.

“Nasib baik abang saya membantu untuk menguruska­n semua kucing itu ketika saya tiada di rumah.

“Kucing yang paling saya sayang namanya adalah Jihyo yang berusia hampir dua tahun. Kucing ini memang saya tak akan jual sebab terlalu sayangkann­ya,” katanya.

Jelas Nazirul, dia tidak menafikan dengan membela kucing sedikit-sebanyak dapat menghilang­kan rasa tekanan sebagai pemain bola sepak.

“Memang tak dapat dinafikan apabila balik ke rumah dan dapat bermain dengan kucing, ia dapat menghilang­kan masalah di padang.

“Satu lagi sebab saya minat membela kucing adalah kerana rezeki murah,” katanya.

 ??  ?? JIHYO berusia dua tahun. AKSI kental Nazirul (kanan) ketika di padang. NAZIRUL minat bela kucing sejak kecil.
JIHYO berusia dua tahun. AKSI kental Nazirul (kanan) ketika di padang. NAZIRUL minat bela kucing sejak kecil.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia