Harian Metro

Hishammudd­in bawa misi negara ke Asia Barat

-

Kluang: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammudd­in Hussein akan membawa misi negara membantu memainkan peranan terhadap krisis dalaman yang berlaku di empat negara Asia Barat.

Tugas itu akan dibawa beliau mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melalui lawatan empat hari ke tiga negara Asia Barat iaitu Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Bahrain.

Hishammudd­in berkata, lawatan beliau ke tiga negara itu penting dalam membawa harapan dan mesej 10 negara ASEAN ke negara Asia Barat yang berdepan krisis.

“Kita sebenarnya dalam situasi yang cukup baik. Saya mewakili Perdana Menteri akan ke sana untuk mendengar sendiri apa sebenarnya punca masalah di sana.

“Ini penting kerana Islam dan imej Islam sekarang tercemar dan kita perlu usaha setakat yang kita mampu untuk memberi gambaran sekurang-kurangnya negara Islam ini bersatu, kerana musuh kita sama iaitu Daish, militan dan pihak-pihak yang menyerang imej Islam,” katanya pada Majlis Perasmian Penutup Karnival Mini Kementeria­n Pertahanan (MINDEF) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sempena Sambutan Rumah Terbuka Malaysia di Taman Sri Lambak, di sini, semalam.

Menurutnya, segala usaha yang dibuat mana-mana pihak bagi membantu negara Asia Barat perlu ke arah penyatuan dan bukan bertujuan memecah belah.

“Saya pergi ke sana untuk melihat isu ini dan mendapatka­n fakta. Kita tidak tahu apa sebenarnya punca perbalahan di sana,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, Kuwait dan Qatar berkemungk­inan menjadi lokasi lawatannya selepas ini.

“Penting untuk kita tidak melarikan diri walaupun masalah itu bukan di rantau kita, jangan kita memeluk tubuh dan jangan beri persepsi masalah mereka bukan masalah kita,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia