Harian Metro

Sasaran tinggi suntik motivasi pemain

-

Nampaknya bahang temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) semakin terasa apabila temasya dwitahunan itu dijangka berlangsun­g dalam tempoh sebulan lagi.

Namun ketika ramai memberi tumpuan kepada acara berprestij itu, sebenarnya satu lagi ‘pasukan’ skuad badminton negara juga akan berjuang membawa nama Malaysia di Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland yang berlangsun­g hampir serentak dengan KL2017.

Saya percaya ramai pasti memberi tumpuan kepada siapa lagi kalau bukan jaguh perseorang­an negara Datuk Lee Chong Wei yang terus memburu kejuaraan dunia buat kali pertama.

Bagi saya, kita tidak boleh juga melupakan pemain lain terutama yang akan tampil kali pertama di kejohanan paling berprestij itu.

Sebenarnya selain Chong Wei, kita ada beberapa pemain beraksi di Kejohanan Dunia buat kali pertama, antaranya beregu campuran negara Tan Kian Meng-Lai Pei Jing serta Low Juan Shen-Chooi Kah Ming (beregu lelaki).

Mereka ini mungkin tidak diberikan harapan tinggi seperti Chong Wei, namun mereka juga mewakili Malaysia.

Sebagai seorang rakyat Malaysia, siapa lagi kalau bukan kita yang perlu memberi sokongan padu kepada mereka.

Untuk mereka, saya harap walaupun Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak meletakkan sasaran tinggi, sebagai seorang pemain mereka perlu mempunyai sasaran sendiri.

Saya amat berharap muka-muka baru ini meletakkan satu aras sasaran yang realistik untuk memberi motivasi tambahan kepada mereka mencapai sasaran itu.

Dengan adanya sasaran, maka kita mempunyai arah tuju yang jelas. Sebenarnya tidak salah untuk meletakkan sasaran tinggi kerana tidak mustahil impian akan menjadi kenyataan.

Malah kita pernah melihat bagaimana barisan muka baru mampu saja melakukan kejutan dengan menewaskan lawan lebih berpengala­man sekali gus muncul juara.

Itu semua anda dapat saksikan di saingan seperti Grand Prix Emas, Siri Super atau pun Siri Super Premier.

Saya sendiri pernah melalui situasi sama apabila muncul juara Seluruh England seawal usia 19 tahun bersama-sama (Datuk) Razif Sidek pada 1982.

Ketika itu kami hanya mahu memberikan yang terbaik pada setiap perlawanan selain berbekalka­n keyakinan tinggi.

Pemain perseorang­an Muhammad Hafiz Hashim juga pernah melakukann­ya dengan memenangi Seluruh England 2003 pada usia 21 tahun.

Sebenarnya tiada yang mustahil di dunia ini. Jika pemain negara mempunyai persiapan rapi serta tahu apa yang perlu dilakukan ketika di Kejohanan Dunia, saya percaya mereka mampu melangkah jauh.

Kaut sebanyak mungkin pengalaman kali pertama ini dan cuba mengatasi pencapaian itu jika berpeluang lagi beraksi di Kejohanan Dunia seterusnya.

Jika Chong Wei boleh, mengapa tidak anda? Jumpa lagi.

 ??  ?? KIAN Meng (kiri) dan Pei Jing mampu cipta kejutan.
KIAN Meng (kiri) dan Pei Jing mampu cipta kejutan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia