Ibu belum tahu bapa meninggal dunia
Melaka: Keadaan mangsa samun bersenjata di Taman Bukit Terendak, Sungai Udang, Jumaat lalu, Sabturiah Lakidau, 59, semakin stabil apabila mula memberi reaksi positif.
Anaknya, Mohd Hishamuddin Abdul Rahman, 29, berkata, kesihatan ibunya beransur pulih, namun memerlukan banyak rehat.
“Bagaimanapun, mak mula bertanya banyak soalan meskipun susah untuk bercakap kerana lidahnya seakan-akan tersekat. Mungkin akibat kecederaan terkena tumbukan kerana wajahnya masih bengkak,” katanya ketika dihubungi selepas menziarahi ibunya di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka, di sini, petang semalam.
Begitupun, katanya, agak mengharukan apabila ibunya kerap bertanya keadaan bapanya, sedangkan dia masih merahsiakan situasi sebenar kerana bimbang jika ibunya beremosi akan menyukarkan proses pemulihan.
“Abah mana, abah mana? Dia okey tak, dia tanya pada saya. Tapi saya terpaksa mengelak soalan dia (mak) dan hanya menjawab abah okey dan saya cakap yang saya akan beritahu keadaannya sekejap lagi,” katanya
Dalam kejadian jam 8 malam Jumaat lalu, Sabturiah cedera parah pada muka, leher dan tangan manakala suaminya, Abdul Rahman Pileh, 60, ditemui maut dalam keadaan tertiarap dengan kesan kelar pada leher di ruang tamu rumah mereka.
Dalam kejadian itu, seorang polis tentera (MP) berusia 35 tahun ditahan dua jam selepas kejadian bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302/394 Kanun Keseksaan.
Pemeriksaan awal polis ke atas suspek mendapati lelaki terbabit positif dadah methamphetamin dan turut merampas gelang tangan dipercayai milik mangsa.