Karya Dr Ahmad Murad bukan sekadar penulisan berita
Buku
memberi peluang kepada orang ramai melihat aspek lain dalam bidang kewartawanan selain penulisan berita.
Karya Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican itu menunjukkan bidang kewartawanan bukan hanya penulisan berita semata-mata malah turut merangkumi ruang lingkup yang lebih besar.
Ahmad Murad berkata, ia membabitkan aspek perbincangan, penceritaan, naratif budaya serta idea dan bukan tertumpu kepada penulisan yang hanya sebahagian kecil daripada bidang itu.
“Aspek kewartawanan lain juga merangkumi penulisan pendapat, komentar, penulisan rencana, esei, kritikan dan ulasan. Ia bukan hanya akhbar malah juga majalah.
“Kewartawanan juga boleh dibahagikan kepada dua iaitu berita dan pendapat. Apabila bercakap mengenai kewartawanan pendapat, ia adalah perbahasan komentar dan sisi lain cerita itu selain fiksyen berfakta,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran buku itu, di sini, kelmarin.
Menurut beliau, buku berkenaan perlu dibaca pelbagai lapisan masyarakat termasuk pensyarah dan pelajar kewartawanan.
Pada majlis sama, seramai 35 bekas pelajar Fakulti Kajian Sebaran Am Institut Teknologi MARA (ITM) (kini UiTM) sesi 1978-1981 mengadakan perjumpaan semula bagi mengingati kembali kenangan manis ketika belajar hampir 40 tahun lalu.
Alumni yang juga Rektor UiTM Melaka Prof Madya Dr Adnan Hashim berkata, beliau mengambil peluang untuk mengadakan pertemuan bersama rakan sekuliah pada majlis pelancaran buku tulisan Dr Ahmad Murad itu kerana masing-masing sudah lama tidak bersua muka.