LANDASAN TERBAIK BIDANG KEMAHIRAN
Tumpuan GIATMARA dampingi anak bangsa, beri peluang kedua dengan menyediakan latihan supaya boleh berdikari
Oleh itu, pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang gagal menyerlah dalam prestasi akademik disaran jangan lekas berputus asa kerana pintu menuju kejayaan dalam kerjaya masih terbuka luas.
Hal ini sudah terbukti lepasan GIATMARA banyak melahirkan tenaga kerja berkemahiran untuk keperluan pasaran industri negara.
Selain GIATMARA, antara yang memainkan peranan utama dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran ialah politeknik, kolej komuniti dan Institut Kemahiran MARA (IKM).
Setakat ini, aspek kebolehpasaran kerja dalam kalangan pelajar institusi kemahiran menduduki tangga teratas, malah graduan universiti awam pun tidak dapat menyainginya.
Sesungguhnya beruntung mereka yang belajar di institusi kemahiran kerana mereka umpama ‘pisang goreng panas’ yang menjadi rebutan pasaran pekerjaan.
Ketua Pegawai Eksekutif GIATMARA Jamal Nasir Othman berkata, 85 peratus lepasan pusat kemahiran itu mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian, manakala selebihnya menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
Jadi, lepasan GIATMARA, malah di pusat kemahiran lain juga bukan hanya laris dalam pasaran kerja, malah diberi peluang menyambung pengajian ke tahap yang lebih tinggi.
“Inilah kelebihan lepasan GIATMARA yang diperoleh sekarang dan hakikat itu seharusnya membuka mata semua pihak, khasnya lepasan SPM supaya tidak memandang rendah dengan keistimewaan institusi kemahiran seperti GIATMARA,” katanya.
Katanya, GIATMARA boleh disifatkan sebagai landasan terbaik untuk pelajar yang meminati bidang kemahiran mengembangkan kemahiran mereka seterusnya memenuhi penawaran kerja pada masa depan.
“Belia mendapat kemahiran sebagai persediaan menjadi tenaga kerja mahir dan usahawan teknikal bagi memenuhi keperluan industri serta keperluan kegiatan ekonomi selain keusahawanan di daerah setempat dan dalam negara.
“GIATMARA ditubuhkan untuk membantu anak bangsa yang tercicir dalam bidang akademik dan tidak dapat melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Jadi tumpuan GIATMARA adalah mendampingi anak bangsa selain memberi peluang kedua kepada mereka dengan menyediakan latihan kemahiran supaya boleh berdikari dan terbabit dengan bidang keusahawanan,” katanya.
Melihat perkembangan perkhidmatan awam terutama pengangkutan keretapi, GIATMARA juga dipertanggungjawab untuk melahirkan tenaga