VIRUS RABIES
MANGSA KEEMPAT MENINGGAL MUKIM MATANG KAWASAN WABAK
“Anak saudara saya sempat menyambut Hari Gawai pada 1 Jun lalu namun tidak lama selepas itu, kesihatannya merosot,” kata Asem Ladong, 52.
Asem adalah bapa saudara kepada Florencesia Edward, 5, mangsa keempat yang meninggal dunia petang semalam, selepas disahkan menghidap virus rabies.
Florencesia disahkan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini, jam 2.05 petang selepas alat bantuan hayat dicabut ekoran keadaannya yang tidak dapat diselamatkan selepas sel otaknya mati.
Menurut Asem, tangan kiri mangsa digigit anjing ketika mangsa berada di rumah datuknya seminggu sebelum sambutan Hari Gawai namun tidak menunjukkan sebarang simptom virus berkenaan.
“Selepas sambutan Hari Gawai, anak saudara saya mula menunjukkan simptom virus rabies sebelum keluarganya membawanya ke Hospital Serian untuk rawatan.
“Selepas rawatan di Hospital Serian, mangsa tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum dia dipindahkan ke HUS untuk pemantauan pakar,” katanya.
Menurut Asem, sejak dirawat di HUS pada 4 Julai lalu, mangsa tidak menunjukkan petanda positif dan terus kritikal menyebabkan keluarganya membuat keputusan untuk mencabut alat bantuan hayat, petang semalam.
Katanya, mangsa yang menetap bersama keluarganya di Kampung Ampungan di Serian akan disemadikan di kampung berkenaan, esok selepas semua proses dokumentasi selesai.
Untuk rekod, pada 4 Julai lalu, dua beradik, Monica Mazlan, 6, dan Jackson Mazlan, 4, meninggal dunia akibat virus rabies disusuli Alicesa Lorenna Nody, 7, pada 13 Julai lalu.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan kematian kanak-kanak itu dan memaklumkan, setakat ini jumlah mangsa yang maut akibat virus rabies meningkat kepada empat orang.
Menurutnya, setakat ini tiada kes baru virus rabies dilaporkan di seluruh negara namun pihaknya terus memastikan suntikan vaksin diberikan kepada mereka yang pernah digigit anjing.
“Jabatan Kesihatan sedang melaksanakan aktiviti kawalan dan pencegahan termasuk pengesanan kes gigitan anjing di kawasan yang disahkan mempunyai virus rabies bagi tujuan rawatan dan pemantauan lanjut,” katanya.
Dalam pada itu, Sekretariat Pengurusan Bencana Sarawak melaporkan 368 kes gigitan anjing direkodkan berlaku sejak 1 April lalu.