Diskaun 50% hingga 31 Ogos
Kuala Lumpur: Lebih setengah juta pengguna perkhidmatan MRT, LRT, monorel, dan BRT Rapid KL sedia ada dan puluhan ribu pengguna baharu dijangka menikmati diskaun 50 peratus ke atas tambang perjalanan mereka mulai esok sehingga 31 Ogos 2017 berikutan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak ketika majlis perasmian fasa kedua MRT Laluan Sungai Buloh – Kajang (MRT SBK) semalam.
Mengulas pengumuman Perdana Menteri itu, Datuk Ir Zohari Sulaiman, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd yang mengendalikan perkhidmatan MRT SBK berkata syarikat sedang bersiap sedia untuk menyelaraskan sistem tambang semua perkhidmatan terbabit untuk kemudahan semua pengguna.
“Insyha-Allah, sistem tambang kami akan siap diselaraskan untuk memberi diskaun 50 peratus kepada semua pengguna perkhidmatan MRT, LRT, monorel, dan BRT mulai esok (hari ini),” kata Zohari.
Selaras dengan pembukaan fasa kedua MRT SBK kepada orang ramai mulai jam 4 petang itu, Zohari turut menyeru orang ramai supaya mengambil kesempatan untuk menggunakan secara percuma perkhidmatan MRT fasa dua dari Stesen Kajang ke Stesen Muzium Negara sehingga tamat waktu perkhidmatan tren berlepas dari Stesen Kajang dan Muzium Negara kira-kira jam 11.30 malam.
Dengan pembukaan fasa kedua MRT SBK, Zohari berkata lebih 1,200 anggota Rapid Rail yang ditugaskan untuk mengendalikan perkhidmatan MRT SBK turut bersedia menyambut bilangan pengguna baru perkhidmatan MRT yang dijangka meningkat 10 kali ganda sehari berbanding jumlah pengguna MRT sedia ada.
Berikutan jangkaan peningkatan jumlah pengguna baru itu, terutamanya di stesen-stesen sambungan dan bersepadu, Rapid Rail telah dan sedang mengubah suai beberapa stesen utama, antaranya Stesen LRT KL Sentral.
“Anjung Timur Stesen LRT KL Sentral sudah siap diubah suai dan dibuka sepenuhnya mulai semalam sebagai pintu masuk kedua Stesen LRT KL Sentral,” katanya.