Hanya tahu melalui media
Ibu kanak-kanak perempuan digigit anjing kesal lewat dimaklum hasil ujian
Ibu kanak-kanak perempuan yang digigit anjing dijangkiti virus rabies di Kuala Sepetang, dekat sini, 4 Julai lalu, kecewa atas kelewatan Jabatan Veterinar Perak memaklumkan hasil ujian terhadap anjing miliknya.
Dia yang dikenali Madam Ooi, 40, mendakwa hanya mengetahui perkara itu kelmarin, sebaik dimaklumkan rakannya yang membaca berita di media sedangkan Jabatan Veterinar memberitahu akan memaklumkan hasil ujian itu kepadanya, semalam.
“Sepatutnya mereka (Jabatan Veterinar) memberitahu saya sendiri sebelum melaporkannya kepada media kerana perkara itu mengakibatkan saya dan ahli keluarga lain menerima gangguan daripada orang luar yang bertanyakan mengenai hal ini.
“Namun, semalam saya dapat panggilan telefon daripada mereka (Jabatan Veterinar) memaklumkan akan datang sendiri ke rumah dan memaklumkan perkara itu pada Isnin (hari ini).
“Bagaimanapun, semalam saya lihat beberapa kakitangan Jabatan Veterinar menjalankan pemeriksaan di kawasan sekitar, namun tiada seorang pun memaklumkan perkara itu kepada saya,” katanya di sini, semalam.
Anjing milik Ooi mati pada Khamis lalu selepas menggigit dua kanak-kanak perempuan berusia 11 dan 12 tahun pada 4 Julai lalu sebelum Jabatan Veterinar mengesahkan anjing berkenaan positif virus berkenaan.
Bagaimanapun, Jabatan Kesihatan Negeri Perak semalam mengesahkan kedua-dua kanak itu bebas daripada wabak anjing gila atau rabies.
Tinjaun Harian Metro di kawasan itu mendapati beberapa kakitangan Jabatan Kesihatan dan Jabatan Veterinar negeri giat menjalankan pemantauan dan pemeriksaan termasuk melakukan kajian terhadap isi rumah berhubung wabak berkenaan.
Difahamkan, antara soalan diajukan kepada penduduk termasuk jumlah isi rumah serta jenis binatang peliharaan yang dimiliki. Tinjauan mendapati tiada anjing liar berkeliaran di kawasan itu, sebaliknya hanya satu atau dua anjing peliharaan berada di sekitar rumah pemilik.
Ooi berkata, anak perempuannya berusia 12 tahun, manakala anak saudara perempuannya 11 tahun sihat dan meneruskan sesi persekolahan seperti biasa.
“Kedua-duanya tidak dimasukkan ke wad sebaliknya menerima rawatan susulan di Hospital Taiping dan kedua-duanya diberikan suntikan Rabu ini di hospital berkenaan,” katanya.
Menurutnya, doktor veterinar yang merawat anjing peliharaannya memaklumkan haiwan itu mempunyai kesan gigitan di bahagian kemaluannya, tetapi ia tidak menunjukkan sebarang tanda penyakit pada awalnya.