Mukim Matang diisytihar kawasan wabak anjing gila
Ipoh: Mukim Matang di daerah Larut Matang Selama (LMS) diwartakan sebagai kawasan wabak anjing gila atau rabies oleh kerajaan negeri berkuatkuasa semalam, susulan satu kes dilaporkan di kawasan itu pada 4 Julai lalu.
Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pengisytiharan wabak anjing gila itu digazetkan mengikut Subseksyen 39 (1), Akta Binatang 1953 (Akta 647).
Menurutnya, arahan pewartaan itu memberi kuasa kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) untuk mengambil tindakan sewajarnya di kawasan itu.
“Oleh itu, pergerakan anjing keluar dan masuk di kawasan berkenaan tidak dibenarkan kecuali atas kebenaran bertulis daripada Pengarah Perkhidmatan Veterinar Negeri.
“Mana-mana pemilik atau orang yang terbabit mengawal mana-mana anjing di kawasan dijangkiti hendaklah memastikan anjing dikawal dengan baik (mengurung) di kawasan yang tertutup dan sesuai serta mengikat anjing dengan selamat.
“Jika dibawa keluar dari kawasan perumahan, mereka mestilah menggunakan tali pengikat yang sesuai,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Setiausaha Kerajaan Negeri mengenai tindakan terhadap isu dalam laporan Ketua Audit Negara, di sini, semalam.
Pewartaan itu dikeluarkan susulan kejadian dua kanak-kanak perempuan berusia 11 dan 12 tahun digigit anjing peliharaan keluarganya pada 4 Julai lalu.
Kes itu dikesan apabila pemilik anjing membuat laporan pada Khamis lalu mengenai anjing dipeliharanya mati selepas lapan hari menggigit anak perempuan dan anak saudaranya di Kuala Sepetang, Taiping.