Bongkar 8 jam
Lapan pegawai SPRM bawa keluar 3 kotak dokumen FIC berkaitan pembelian hotel di London
Selepas lapan jam berada Balai FELDA, Jalan Gurney, pegawai dan anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akhirnya membawa keluar dokumen daripada FELDA Invesment Corporation (FIC) bagi membantu siasatan.
Mereka yang tiba kira-kira jam 10.20 pagi semalam dipercayai untuk mengambil dokumen berkaitan siasatan terhadap pembelian sebuah hotel empat bintang di Kensington, London.
Semua dokumen berkenaan dibawa keluar lapan pegawai SPRM dari tingkat empat sebelum meninggalkan Balai FELDA dengan menaiki dua kenderaan SPRM jam 5.45 petang.
Difahamkan semua dokumen yang terdiri daripada tiga kotak dan dua bagasi itu sudah menjalani proses sia- satan awal sebelum dibawa keluar untuk dibawa ke Putrajaya.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan memberitahu pasukan siasatan akan meneliti semua dokumen serta maklumat yang diperoleh.
Beliau berkata, saksi penting akan mula dipanggil hari ini untuk merakam percakapan bagi membolehkan pasukan penyiasat melengkapkan kertas siasatan.
Sementara itu, FIC dalam satu kenyataan mengesahkan kehadiran lapan pegawai SPRM ke pejabat FIC untuk menyiasat pembelian hotel di London.
Katanya, FIC memberikan kerjasama penuh sepanjang proses siasatan oleh pihak SPRM.
Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad dilaporkan berkata, berdasarkan siasatan awal FIC dipercayai membeli hotel itu pada harga jauh lebih tinggi berbanding harga asal hingga menyebabkan FIC mengalami kerugian jutaan ringgit.