sebenarnya.my tepis segala berita palsu
BEBERAPA minggu lalu, seluruh negara gempar dengan video amatur menunjukkan nasi yang ditanak boleh membentuk ‘bola getah’ yang melantun apabila dibaling ke lantai. Hal ini dijadikan ‘bukti’ kononnya beras yang dibeli dicampur dengan beras plastik.
Video ini tular dengan pantas. Komentar dan tuduhan orang ramai dilemparkan kepada syarikat pengeluar beras bukannya sedikit. Jari dituding kepada pelbagai pihak. Semuanya dipersalahkan hanya bersandarkan andaian yang pastinya datang tanpa sebarang bukti kukuh.
Secara umum, lebih ramai yang percaya beras yang dijual ‘sah’ dicampur plastik berbanding yang sanggup menunggu penjelasan pihak berkuasa atau syarikat pengeluar. Isu beras dicampur plastik bukan perkara baru di rantau ASEAN.
Pada 2015 isu sama pernah menggemparkan negara jiran, Indonesia. Ia juga timbul di Filipina tidak lama dulu. Di Thailand isu ini timbul pada Januari tahun ini sehingga Menteri Perdagangannya, Apiradi Tantraporn terpaksa mengeluarkan kenyataan rasmi menafikan negara itu mengeksport beras plastik.
Sambil anda membaca artikel ini, BBC melaporkan dakwaan kewujudan beras plastik sedang hangat di benua Afrika, terutama di negara seperti Senegal, Gambia dan Ghana. Di sebalik dakwaan ini, hasil siasatan Ghana Food and Drugs Authority mengesahkan tiada beras plastik dijual di negara itu.
Banyak maklumat
Saban hari aplikasi WhatsApp penulis tidak pernah sunyi daripada menerima mesej berantai. Pelbagai topik yang ‘diforward’ oleh rakan dan ahli keluarga daripada pengetahuan agama sampailah kepada khabar angin. Meskipun ramai yang sedar tidak semua berita yang masuk ke telefon pintar mereka itu benar, tidak ramai yang sanggup melaburkan masa untuk memeriksa kesahihan khabar angin yang diterima.
Berita sensasi sebegini pula sentiasa datang dan pergi. Dijawab hari ini, ia akan hadir lagi pada tahun akan datang. Atas sebab itulah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil langkah menyediakan pusat rujukan dalam talian demi membantu orang ramai memeriksa dan mengesahkan kesahihan sesuatu khabar angin.
Portal ‘sebenarnya.my’ kelolaan SKMM dilancarkan 14 Mac 2017 oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Dr
Salleh Said Keruak sebagai pusat sehenti bagi orang ramai menyemak dan menyalurkan maklumat yang diterima dalam talian. Ia satu daripada beberapa usaha SKMM menangani masalah penularan berita palsu.
Kesahihan fakta
Menurut Pengarah Kanan, Bahagian Advokasi dan Jangkauan SKMM, Eneng Faridah Iskandar peranan sebenarnya.my lebih kepada repositori dan arkib bagi berita berunsur palsu melibatkan kepentingan awam dan negara.
“Setiap bahan yang disiar di portal ini memiliki ciri antara sudah dinafikan atau diperjelas secara rasmi oleh agensi kerajaan yang berkaitan,” jelas beliau. Penjelasan atau penafian maklumat dibuat dengan terlebih dulu merujuk kepada sumber seperti kenyataan media, kenyataan di laman sesawang rasmi kementerian, jabatan atau agensi terbabit mahupun kenyataan yang disiarkan dalam laman sosial seperti Facebook dan Twitter.
Sesuai dengan peranannya, portal ini tidak dibina dengan niat menjadi medium yang mendahului pihak kementerian, jabatan, agensi mahupun media massa. Nilai tambah yang diberi portal sebenarnya.my adalah pemudah cara bagi orang awam yang mahukan pengesahan maklumat di laman sesawang yang boleh dipercayai kredibilitinya.
Ciri mudah guna
“Dalam kalangan masyarakat kita masih ada yang belum ada kebolehan atau kepakaran untuk mendapatkan sumber rasmi berkenaan sesuatu isu atau maklumat. Apabila mereka tiba di satu-satu laman sesawang atau blog, kadang-kadang mereka pun tidak pasti siapa yang mengesahkan sesuatu bahan yang disiarkan. Jadi SKMM bantu mereka ‘fact checking’,” katanya.
Eneng juga berharap dengan adanya kemudahan seperti sebenarnya.my akan dapat mendidik masyarakat dan membudayakan amalan memeriksa dulu maklumat yang diterima sebelum disebarkan kepada orang lain. Paparan laman sebenarnya.my direka khas untuk memudahkan pengguna. Setiap kes yang disiarkan di laman ini disertakan dengan maklumat sumber khabar angin, kemudian diberi penjelasan umum mengenai kesahihan berita itu. Bagi orang ramai yang mahu mendapatkan maklumat lanjut, pautan kepada sumber rasmi penjelasan atau penafian ada disediakan pada akhir artikel.
Terdapat juga kotak carian yang membolehkan pengguna membuat carian pantas isu menggunakan kata kunci. Contohnya bila dimasukkan kata kunci ‘pesawat’, portal ini menyenaraikan khabar angin terkait pesawat yang pernah tular. Antaranya seperti khabar angin kononnya bangkai MH370 ditemui di Filipina pada Oktober 2015, cerita palsu yang mengatakan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)
Bakal Menyewa Pesawat Tempur Gripen Daripada Sweden dan penafian kononnya ada pesawat
TUDM terhempas di Butterworth pada Mac 2017.
Bukan untuk peribadi
Eneng menjelaskan, sesuai dengan tujuan asal portal ini
untuk memberi maklumat sahih demi kepentingan awam dan negara, portal ini tidak boleh diguna sewenang-wenangnya untuk kepentingan peribadi. Isu yang tiada dalam skop berita portal ini seperti isu peribadi, agenda oleh orang persendirian, syarikat atau mana-mana parti politik, isu sensitif berkaitan pemimpin masyarakat dan apa juga berita yang tidak memenuhi tujuan asal portal.
Bagaimanapun, orang ramai yang berhajat menyalurkan maklumat untuk perhatian SKMM boleh berbuat demikian melalui saluran yang disediakan seperti laman https://aduan.skmm.gov.my atau melalui e-mel aduanskmm@cmc.gov.my atau melalui aplikasi Whatsapp nombor +6016 2206 262.
Kadar penembusan jalur lebar di Malaysia setakat suku keempat 2016 adalah 77.6 peratus. Sepanjang 2016, SKMM menerima 352 aduan kes penggodaman, penipuan cinta dan ‘sextortion’ (329), penipuan pembelian barangan dalam talian (287), penipuan (261) dan ‘phising’ (40).
“Untuk kepentingan masyarakat, SKMM akan terus bekerjasama erat dengan jabatan dan agensi kerajaan bagi tujuan menyalurkan maklumat yang tepat. Kami akan terus memperbaiki kandungan dan portal ini dari semasa ke semasa,” kata Eneng. – BERNAMA