Jana RM3.04b kepada PNK
Industri filem animasi dan kesan visual negara dijangka menyumbang RM3.04 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK) dan menghasilkan lebih daripada 10,000 pekerjaan menjelang 2020.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) Datuk Yasmin Mahmood berkata, dengan kadar pertumbuhan yang tinggi untuk nilai eksport bagi segmen industri kandungan kreatif negara bernilai RM1 bilion tahun lalu, pihaknya yakin Malaysia mampu meletakkan dirinya ke peringkat lebih tinggi, selain menjadi salah satu hab teknologi dan kandungan kreatif di rantau ini.
“Pembangunan kesan visual dan keupayaan pengeluaran animasi tempatan sentiasa menjadi keutamaan ke arah mengembang serta memperkukuhkan industri ini.
“Malah, industri berkenaan juga dijadikan agenda Projek Penggerak Ekonomi (EPP) di bawah Program Transformasi Ekonomi Malaysia,” katanya pada majlis menandatangani memorandum persetujuan (MoA) membabitkan kerjasama strategik di antara syarikat animasi tempatan, Animamundi Studio Sdn Bhd (Animamundi) dengan China Film Animation Industry, di sini, semalam.
Menurutnya, segmen terbabit membuktikan kekuatannya apabila menaikkan nama Malaysia di mata dunia melalui kejayaan filem animasi seperti Upin Ipin dan lagu kanak-kanak Didi & Friends yang gah ditayangkan di pentas antarabangsa.
Mengulas mengenai kerjasama terbabit, Yasmin berkata, perjanjian itu bakal menyaksikan kedua-dua pihak bekerjasama daripada aspek pembangunan serta hak milik intelektual produksi animasi untuk pelbagai
Industri animasi, kandungan kreatif bakal jadikan negara hab teknologi serantau
projek di China dan Amerika Utara.
“Perjanjian terbabit membina asas untuk kedua-dua pihak menjalin kerjasama untuk produksi, pelaburan serta amalan terbaik dalam industri,” katanya.
Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Animamundi, Leong Chun Chong berkata, kerjasama berkenaan dilihat berpotensi memberi manfaat kepada industri animasi dan kesan visual di Malaysia.
“Melalui kolaborasi ini, kami mahu meningkatkan kepakaran teknikal pekerja dalam industri animasi dan kesan visual di Malaysia,” katanya.