PPKS, Crest meterai MoU promosi sijil akreditasi industri sekuriti siber
Kuala Lumpur: Persatuan Penguji Keselamatan Siber Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya (PPKS) dan badan akreditasi industri keselamatan maklumat teknikal (CREST) menandatangani kerjasama persefahaman (MoU) bagi mempromosikan sijil pengiktirafan serta rangka kerja pengakreditasi untuk industri sekuriti siber tempatan.
Menerusi kerjasama itu, pemain industri sekuriti siber tempatan memberi jaminan kepada pelanggan dari segi kualiti perkhidmatan yang diiktiraf selepas melalui ujian dilaksanakan CREST.
Pengerusi PPKS dan Bahagian CREST Malaysia Mohammed Fadzil Haron berkata, industri sekuriti siber tempatan memerlukan badan akreditasi yang mengiktiraf perkhidmatan mereka yang ditawarkan kepada pelanggan supaya mempunyai standard diperakui.
Beliau berkata, langkah itu sejajar bagi mengelakkan penularan aktiviti jenayah siber di Malaysia membabitkan penyedia perkhidmatan yang menawarkan perkhidmatan tidak profe- sional dan tidak mengikut piawaian kepada pelanggan.
“Kerjasama ini mencerminkan kepentingan dan memperkasakan landskap industri keselamatan sekuriti di Malaysia. Rangka kerja ini diharap mampu membangunkan ramai profesional bahagian sekuriti maklumat yang mampan.
“Saya difahamkan jumlah profesional sekuriti maklumat di Malaysia masih tidak ramai dan buat masa ini kami tiada perangkaan jumlah kes serangan sekuriti maklumat,” katanya pada majlis MoU berkenaan, di sini, semalam.
MoU itu ditandatangani Presiden CREST Ian Glover dan Mohammed Fadzil disaksikan Pembantu Gabenor Bank Negara Malaysia, Donald Joshua Jaganathan.