Suzuki, Behe belum pasti beraksi
Seremban: Biarpun kelibat penyerang Bruno Suzuki
dan Jonathan Behe masih belum sah dapat diturunkan namun ia tidak begitu meresahkan ketua jurulatih Negeri Sembilan, Asri Ninggal.
Sebaliknya, beliau yakin pemain pasukan itu mampu mempamerkan kebangkitan dalam misi merealisasikan kemenangan pertama, ketika turun menentang PKNP FC, pada perlawanan ketiga Kumpulan A Piala Malaysia, di Stadium Proton, Tanjung Malim, petang ini.
Pengendali itu berkata, kedua-dua pemain import berkenaan kurang cergas dan memerlukan sedikit masa untuk pulih dan mencapai tahap kecergasan terbaik.
(gambar)
“Saya belum dapat pastikan sama ada Bruno dan Behe dapat diturunkan atau tidak dalam perlawanan petang esok (ini) dan kedudukan mereka akan ditentukan pegawai perubatan pasukan.
“Memang kita berharap mereka dapat beraksi namun kita juga tidak mahu menanggung risiko terhadap kecederaan yang mereka alami,” katanya, semalam.
Asri bagaimanapun yakin akan dapat menurunkan barisan terbaik kerana memiliki ramai pemain yang boleh menggalas tanggungjawab diamanahkan.
“Saya mempunyai beberapa pemain pilihan yang boleh menggalas tugas termasuk di bahagian serangan dan yakin mereka berkeupayaan untuk membantu merealisasikan kemenangan ke atas PKNP FC,” katanya.
Beliau juga yakin semangat dan komitmen anak buahnya masih tinggi untuk melaksanakan tugas itu dengan cemerlang.
Menurutnya, biarpun persembahan mereka sedikit meresahkan ketika mencatatkan seri tanpa jaringan dengan pasukan tercorot Liga Perdana, MISC-MIFA di gelanggang sama Jumaat lalu, namun yakin situasi itu akan berubah, petang ini.
“Saya yakin semangat pemain masih tinggi dan mereka akan berikan persembahan lebih baik bagi mendapatkan tiga mata,” katanya.