Warga China selami masyarakat Minangkabau
Membantu keluarga angkat membuat persiapan menyambut Aidilfitri seperti memasak rendang, membuat kuih, mengemas rumah dan meraikan hari kebesaran itu bersama masyarakat Islam di Kampung Rawa, Lenggeng, Negeri Sembilan adalah pengalaman yang kekal terpahat dalam ingatan warga China, Zhang Jing Ling.
Walau tempoh bersama keluarga Azwan Alias hanya lapan hari, namun ia memberi pengalaman berguna terutama dalam menyiapkan tugasan universiti yang memerlukan dia mengenali dan mendekati masyarakat Minangkabau di Malaysia juga Indonesia.
Jing Ling yang tiba di Malaysia beberapa hari menjelang Aidilfitri ternyata tidak kekok dan cepat menyesuaikan diri dengan kehidupan masyarakat di kampung itu.
Malah, sepanjang musim perayaan itu, Jing Ling ringan tulang membantu keluarga angkatnya melayan tetamu yang tidak putus-putus mengunjungi keluarga Azwan.
Dia juga mengambil kesempatan mengikut keluarga Azwan berhari raya dengan mengunjungi saudara-mara serta jiran tetangga di sekitar Lenggeng.
Sambil mengenakan baju kurung, Jing Ling yang membahasakan dirinya sebagai Melati kelihatan sangat selesa berpakaian tradisional Melayu itu walaupun pertama kali mencuba.
“Pada awalnya, kami agak keberatan menerima kehadirannya, maklumlah dia orang asing yang sangat berbeza cara hidup dan budaya.
“Saya bimbang kami tidak dapat memahami antara satu sama lain. Apatah lagi ketika itu, saya pula sangat sibuk dengan persiapan menyambut hari raya, sudah tentu saya tidak mampu melayannya seperti diharapkan.
“Tapi, Melati pandai menyesuaikan diri. Kehadirannya membantu meringankan tugas saya. Sifatnya yang ringan tulang dan berbudi bahasa benarbenar menyenangkan hati sehinggakan kami cepat mesra seperti satu keluarga,” kata isteri Azwan, Saadiah Othman.
Bagi Melati, menyambut Aidilfitri bersama masyarakat Kampung Rawa adalah satu pengalaman yang sangat berharga. Keterujaan mula terasa beberapa hari menjelang Aidilfitri apabila dia diberi peluang memasak rendang dan membuat kuih-muih.
“Saya berasa mahu menjerit kegembiraan apabila kuih yang saya buat siap dimasak, macam tidak percaya pula ia hasil air tangan saya. Ini pertama kali saya berhari raya bersama masyarakat kampung. Ternyata ia berbeza dengan cara orang kota menyambutnya.
“Di sini, masyarakat masih mengekalkan tradisi kunjung-mengunjung ke rumah sanak-saudara dan jiran tetangga. Pada hari raya pertama, tetamu tidak putus-putus datang dari awal pagi hingga ke malam.
“Ia memang meletihkan kerana saya perlu menolong Kak Saadiah menghidangkan juadah, mengemas dan mencuci pinggan. Tetapi semua itu tidak terasa kala melihat kemesraan yang terjalin.
“Pada hari raya kedua, giliran kami pula mengunjungi rumah saudara-mara, jiran dan rakan taulan. Saya sangat seronok kerana masyarakat di sini ramah dan melayan saya dengan baik.
“Kesempatan berada di kampung itu juga saya gunakan untuk mencuba beberapa masakan Melayu seperti laksa Johor, nasi ayam, lemang, rendang, tart nanas, kuih bangkit dan seri muka,” ujar Melati.
LIDAH MELAYU
Apa yang menarik, Melati yang memiliki ijazah sarjana dalam Kesusasteraan Melayu dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) fasih berbahasa Malaysia malah lidahnya tidak pelat seolaholah dia anak jati negara ini.
Ia secara tidak langsung pasti menjadi tamparan hebat kepada sebilangan rakyat kita yang masih terkial-kial ketika menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantara dalam perbualan.
Walaupun kemampuannya itu bertepatan dengan tugasnya sebagai tenaga pengajar Bahasa Malaysia di Communication University Of China (CUC) namun apa yang membanggakan adalah sikap Melati yang berusaha untuk memartabatkan Bahasa Malaysia di peringkat antarabangsa.
Malah, bagi menyiapkan tesis untuk melayakkan dirinya menggenggam PhD, Jing Ling memilih topik yang tidak jauh dengan kehidupan masyarakat Malaysia iaitu keturunan Minangkabau sebagai subjek kajian.
“Sebenarnya pada peringkat awal, ketika menuntut di CUC pada
2001, saya memilih Bahasa Malaysia sebagai subjek pilihan untuk bahasa asing kerana Malaysia dekat dengan Cina. Jadi, jika saya perlu ke sini untuk mendalami bahasa ini, ia tidak terlalu jauh.
“Namun, selepas mempelajari Bahasa Malaysia, saya mendapati ia