Labur RM935j
CGPV bangun sekolah antarabangsa
Country Garden Pacificview Sdn Bhd (CGPV) yang juga pemaju utama pembangunan Forest City, bakal melabur RM935 juta bagi membangunkan sekolah antarabangsa, Shattuck St Mary’s, di lokasi projek mega itu.
Sekolah antarabangsa Amerika Syarikat itu meliputi tiga fasa akan dimulakan dengan pembinaan fasa pertama seluas 57,829 meter persegi dan dijangka siap pada Ogos 2018.
Pengarah Eksekutif CGPV, Datuk Md Othman Yusof berkata, pembinaan fasa pertama sekolah yang menawarkan program pendidikan prasekolah hingga sekolah menengah itu adalah sebahagian daripada 9.8 hektar hab pendidikan di Forest City.
Katanya, fasa pertama projek itu akan merangkumi pembinaan bangunan mengajar serta pusat persembahan seni visual.
“Kita menjangkakan fasa pertama sekolah antarabangsa Shattuck St Mary’s siap tahun depan.
“Sebagai permulaan, sekolah ini boleh menampung 160 pelajar, namun antara empat hingga lima tahun akan datang, kita jangkakan jumlah ini berkembang sehingga 1,000 pelajar,” katanya pada sidang media selepas majlis Pecah Tanah Shattuck St Mary’s di Forest City di sini, semalam.
Majlis pecah tanah itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat serta Pengarah Eksekutif CGPV, Datuk Daing A Malek Daing A Rahaman dan Teo Chee Yow.
Hadir sama, Pengetua Shattuck St Mary’s Forest City, Graham Gamble dan Naib Presiden Bright Scholar Education Holdings, Alexander Shu Chen.
Md Othman berkata, apabila siap sepenuhnya, sekolah berasrama penuh antarabangsa pertama itu mampu menampung sehingga 3,200 pelajar dan pembinaan keseluruhan sekolah berkenaan bergantung kepada keperluan semasa.
“Hab pendidikan di Forest City boleh diperluaskan mengikut keperluan dan kita mengalu-alukan pihak yang terbabit dalam sektor pendidikan untuk membuka institusi mereka di sini,” katanya.
Sementara itu, Ayub berkata, kebiasaannya, pemaju hartanah utama yang menjadi penggerak dalam membuka sekolah antarabangsa yang baru di seluruh negara.