Gajet ikut bajet
Separuh wang perlu disimpan, selebihnya
belanja gajet
Bagi remaja berusia 16 tahun, Aiman Syafiq Mohd, beliau sentiasa menantikan musim raya untuk mengumpul duit bagi membeli keperluan aksesori seperti kasing telefon atau fon telinga model baru yang dijual di pasaran.
“Saya akan ketepikan sedikit duit raya untuk berbuat demikian.
“Biasanya saya akan memperoleh duit raya sekitar RM400 hingga RM500 tetapi hanya RM100 saja akan digunakan untuk membeli gajet baru di pasaran,” katanya.
Bagi murid tahun enam, Marisha Aisya Hamid, selepas memperoleh keizinan ibu bapanya, pada kebiasannya beliau akan mencari maklumat berkaitan gajet baru di Internet sebelum membelinya di kedai atau mendapatkan bantuan abangnya menempah di laman e-dagang.
“Duit raya yang saya perolehi mungkin tidak banyak, tetapi kalau ada lebihan saya akan cari game PlayStation yang baru di pasaran,” katanya.
Manakala bagi jurujual kedai gajet di pusat membeli-belah elektronik terkemuka di ibu kota, Zahariq
Mohd Nor, 39, aktiviti pembelian selepas hari raya amat menggalakkan dan meningkat sekitar 20 hingga 30 peratus.
“Kami sudah membuka kedai pada hari raya ketiga jadi ramai juga yang datang membelanjakan wang masing-masing membeli gajet.
“Sudah pasti telefon menjadi keutamaan, tetapi ada juga yang mahu mendapatkan aksesori tambahan,” katanya.
IT@Metro mencadangkan anda berbelanja secara berhemah berdasarkan bajet bersesuaian seperti di bawah:
Apa yang anda boleh perolehi dengan nilai ini? 1. Pemacu USB. Sangat diperlukan untuk tujuan penyimpanan dengan kadar kapasiti 16GB juga sudah boleh dibeli pada harga RM35 hingga RM40 yang boleh digunakan ketika memindah turun filem, lagu atau foto.
2. Tetikus game. Sudah pasti ramai yang bermain game jadi dengan harga semurah RM30 pun boleh memberikan gajet yang memuaskan hati.
3. Papan kekunci. Mungkin sudah tiba menukar papan kekunci komputer yang baru dengan harga RM49? 4. Set VR. Jenama ‘made in China’ berlambak di pasaran namun ada yang mempunyai kualiti baik untuk digunakan. Boleh dimuatkan untuk telefon pintar.
5. Beg kecil gajet. Ia bagi menyimpan semua gajet yang ada. Cari beg yang mempunyai beberapa ruang khas.