Harian Metro

Dua penjawat awam dituduh rasuah

-

Ipoh : Dua penjawat awam antara empat individu yang didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, membabitka­n dua kes berasingan iaitu pemalsuan dokumen dan pemerasan.

Bagi kes pertama, Mohamad Ibrohim Muhamed Shahudin, 36, Penolong Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) daerah Larut Matang dan Selama, dituduh bersama seorang kontraktor, Azlan Ibrahim, 44, memalsukan satu surat tawaran kerja RM20,000 antara Mei hingga Ogos 2015 dengan niat ingin menipu JPS Larut Matang dan Selama, di Taiping.

Kedua-dua tertuduh didakwa memalsukan surat tawaran atas nama Fajar Teknik Enterprise bertarikh 10 Julai 2015 dengan menandatan­ganinya di ruangan nama pemborang, namun sebenarnya mengetahui tandatanga­n dan cop nama itu bukan pemilik asal syarikat berkenaan.

Mohamad Ibrohim dan Azlan yang tidak diwakili peguam mengaku tidak bersalah serta minta dibicaraka­n atas pertuduhan mengikut Seksyen 468, Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda.

Kes kedua membabitka­n anggota polis, Lans Koperal Muhamad Faisal Ahmad Ghafur, 32, dan pemandu lori, Muhammad Azizul Hakim Hasnan, 27, yang didakwa bersama-sama melakukan pemerasan dengan menunjukka­n gari terhadap seorang lelaki serta mengugut ingin membawa mangsa ke balai polis pada jam 7 malam 20 Mac 2014 di Bandar Seri Iskandar, dekat sini.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 384, Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau dengan sebatan atau dengan mana-mana dari dua seksaan itu.

Muhamad Faisal diwakili Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, manakala Muhammad Azizul Hakim pula diwakili Khairul Anuar Musa dan kedua-duanya mengaku tidak bersalah serta minta dibicaraka­n.

Pertuduhan kedua-dua kes dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Wahida Jalaluddin di hadapan Hakim S Indra Nehru.

Nurul Wahida meminta mahkamah mengenakan wang jaminan RM15,000 setiap seorang terhadap keempat-empat tertuduh dengan seorang penjamin serta semua tertuduh perlu menyerahka­n pasport kepada mahkamah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia