Harian Metro

Penjara setahun lari dari lokap

- Iskandar Shah Mohamed iskandar@hmetro.com.my

Seorang tukang rumah Indonesia dijatuhi hukuman penjara setahun dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam atas pertuduhan melarikan diri daripada lokap tahanan polis, bulan lalu.

Majistret Nor Asma Ahmad memutuskan demikian selepas tertuduh, Rahim Muhamad Pugawan, 23, dari Madura mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Mengikut pertuduhan, duda yang juga pendatang asing tanpa izin (PATI) itu didakwa sengaja melarikan diri daripada tahanan polis di tandas pejabat Detektif dan Soal Siasat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, jam 3.30 petang 19 Jun lalu.

Dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Syed Farid Syed Ali memohon hukuman berat berikutan perbuatan tertuduh yang bukan saja meloloskan diri daripada tahanan malah berani melakukan jenayah cabul.

“Selain itu, tertuduh berada di Malaysia tanpa memiliki pasport atau dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kepentinga­n awam perlu sentiasa diutamakan dan hukuman dijadikan sebagai pengajaran kepada tertuduh serta orang awam,” katanya.

Rahim yang tidak diwakili peguam merayu hukuman diringanka­n kerana mempunyai tanggungan dua anak yang masih kecil.

Nor Asma turut menjatuhka­n hukuman penjara tambahan selama enam bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda berkenaan.

Sementara itu, Mahkamah Sesyen di sini, menetapkan 3 Ogos depan bagi sebutan semula beberapa kes lain membabitka­n Rahim termasuk kesalahan mencabul.

Harian Metro sebelum ini melaporkan tertuduh merogol mangsa dengan kemaluanny­a yang mempunyai ball bearing ketika dia dan dua lagi rakannya memecah masuk sebuah rumah di Klang.

Menerusi operasi khas jenayah, mereka ditahan di Plaza Tol Grand Shapadu seminggu kemudian namun suspek melarikan diri melalui tandas IPD Klang Utara dengan keadaan tangan bergari.

Suspek berpura-pura kononnya mahu membuang air, tetapi dia mengopak jeriji besi pada tingkap di tandas berkenaan.

Bagaimanap­un, lelaki itu ditahan semula dalam tempoh kurang 24 jam ketika cuba mencabul kehormatan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di Kampung Baru Hicom, Shah Alam.

 Tukang rumah warga Indonesia mengaku bersalah turut didenda RM6,000

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia