Fazley duta pelancongan halal ke Taiwan
TAIPEI: Bekas juara Selebriti Masterchef Malaysia, Datuk Fazley Yaakob, 39, yang juga Duta Pelancongan Halal Ke Taiwan, diberi penghormatan mempromosikan masakan halal sempena Pameran Kulinari Taiwan 2017 yang sedang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Taiwan.
Pada acara berkenaan, penyanyi, pelakon, pengacara dan juga pengusaha restoran Suka Sucre itu memanfaatkan peluang dengan memberikan penerangan menghala topik perbualan
Menurut Fazley, beliau cukup berbangga dan gembira diberikan peluang terbabit dalam pemeran ini dan perlantikkannya sebagai duta bertujuan menggalakkan pelancongan halal di Taiwan, sekali gus menepis perasaan kurang yakin, was-was atau keraguan pelancong dari luar untuk melawat ke Taiwan.
“Masih ramai yang tidak tahu ibu kota Taiwan, Taipei sebenarnya menyediakan banyak kemudahan untuk orang Islam terutama makanan halal, hotel yang menunjukkan arah kiblat serta penyediaan sejadah dan tandas awam bersesuaian kegunaan kita. Tidak hanya itu, puluhan brosur disediakan sebagai panduan mencari restoran atau kafe halal di sana.
“Secara total, Taiwan sebuah negara mesra pelancongan halal. Justeru, menjadi tanggungjawab saya menggalakkan pelancongan di Taiwan bukan sahaja kepada rakyat di Malaysia, tidak ketinggalan Singapura, Indonesia dan Brunei,” katanya.
Kemunculan beliau sebagai Duta Pelancongan Halal Ke Taiwan yang turut dihadiri oleh wakil media cetak, elektronik dan portal dari Malaysia mencuri tumpuan ramai apabila masing-masing memperagakan pakaian tradisional Malaysia.