Suri rumah dinoda ketika ‘temuduga’
Manjung: Usaha suri rumah berusia 25 tahun untuk mencari kerja bertukar menjadi mimpi ngeri apabila dia dirogol ketika dalam perjalanan untuk menghadiri ‘temuduga’ kerja diatur suspek, Jumaat lalu.
Pada kejadian jam 8 malam di sebuah ladang kelapa sawit di belakang Kawasan Perindustrian Seri Manjung, di sini, mangsa dikatakan membonceng motosikal suspek yang kononnya mahu membawanya untuk temuduga kerja.
Mangsa kemudiannya dibawa ke kawasan sunyi di ladang berkenaan dan diugut dengan pisau sebelum dirogol.
Mangsa yang sudah berkahwin itu dikatakan sedang mencari kerja dan mengetahui tawaran kerja sebagai perancang majlis hari jadi terbabit melalui rakannya sebelum dia menghubungi suspek.
Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, suspek dipercayai mengatur temu janji dan kemudian menjemput mangsa dengan motosikal.
“Suspek kononnya mahu membawa mangsa berjumpa dengan teman wanitanya bagi berbincang mengenai pekerjaan ditawarkan.
“Mangsa mendakwa suaminya turut mengetahui tentang tawaran kerja itu dan dia kemudiannya meminta izin suami untuk keluar bersama suspek dengan membonceng motosikal.
“Tiba di lokasi, suspek mengarahkan mangsa turun daripada motosikal sebelum merogolnya,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Muhammad Hanif berkata, pihaknya sudah mengenal pasti suspek selain nombor pendaftaran motosikal. Pihaknya juga sedang giat mengesan suspek.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan. Orang ramai diminta hentikan penularan gambar individu dipercayai terbabit dalam kejadian itu kerana ia boleh mengganggu siasatan,” katanya.