Bantu bangun sosioekonomi di Davao
Davao (Filipina): Kumpulan AirAsia menjadi entiti pelabur penting di Filipina memandangkan kehadirannya di negara berkenaan membantu membangunkan sosioekonomi di kawasan luar bandar khasnya.
Semasa berlangsungnya Persidangan Pelaburan Davao 2017 (ICON 2017) di Davao, baru-baru ini, Datuk Bandar Davao Sara Duterte-Caprio turut menyifatkan kehadiran AirAsia di Davao membantu mengeratkan hubungan diplomatik antara Filipina dan Malaysia.
Beliau berkata, penerbangan pesawat AirAsia dari Kuala Lumpur dan Manila yang menghubungkan Davao misalnya memudahkan jaringan perjalanan pelabur ke wilayah berkenaan.
Sara berkata, malah kemudahan pengangkutan penerbangan mampu milik ditawarkan AirAsia menjadikan Davao sebagai destinasi menarik untuk aktiviti perniagaan daripada pelabur asing.
“Kami berusaha untuk membangunkan ekonomi di Davao yang mempunyai pelbagai sektor berpotensi untuk dibangunkan seperti pelancongan, pembuatan, pertanian dan tenaga boleh diperbaharui.
“Di sini, kami juga bekerjasama rapat dengan perunding dari Malaysia, Jepun dan Indonesia untuk membantu meningkatkan tarikan pelaburan asing di Davao yang juga kawasan Presiden Filipina, Rodrigo Rao Duterte,” katanya selepas menyampaikan ucaptama pembukaan ICON 2017, di sini.
Wilayah Davao secara umumnya merangkumi Davao City, Davao Del Sur, Davao del Norte, Lembah Compostella, Davao Occidental dan Davao Oriental dengan jumlah penduduk lebih enam juta orang. Tahun lalu, wilayah ini mencatat kadar Pertumbuhan Kasar Domestik Serantau pada 9.4 peratus.