Gedung ketujuh
Sogo (KL) Department Store Sdn Bhd (Sogo), pengendali gedung serbaneka terkemuka negara bakal menembusi pasaran selatan tanah air dengan cawangan terbaru di Johor Bahru, Johor.
Pembukaan cawangan itu adalah menerusi kerjasama dengan IGB Corp Bhd (IGB Corp) apabila Sogo menjadi penyewa utama bagi pusat beli-belah terbaru Mid Valley Megamall di negeri berkenaan.
Pengarah Urusan Kumpulan Sogo Datuk Alfred Chong berkata, gedung itu menjadikan jumlah keseluruhannya tujuh cawangan dan meningkatkan ruang runcit kepada 2.4 juta kaki persegi.
Beliau berkata, selain Johor Bahru, antara lokasi lain yang diumumkan sebelum ini termasuk gedung sedia ada di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Tun Razak Exhange Lifestyle Quarter, Central i-City (Shah Alam), Paragon@KL Northgate (Selayang), Mayang Mall (Kuala Terengganu) dan Prai Megamall (Pulau Pinang).
Katanya, semua gedung terbabit dijangka menjalankan operasi sama ada menggunakan jenama Sogo atau Seibu yang dibuka dalam tempoh empat tahun akan datang.
“Selepas semua cawangan baru itu beroperasi, kami unjurkan pulangan jualan mencecah RM1.5 bilion setiap tahun dengan pelaburan modal bernilai RM200 juta.
Sogo buka cawangan terbaru di Johor Bahru
“Kami sentiasa berhati-hati memilih lokasi bagi gedung terbaru yang menjadi kunci kepada strategi operasi syarikat dengan membuka cawangan di lokasi utama Lembah Klang dan bandar besar di semenanjung Malaysia,” katanya.
Chong berkata, pihaknya percaya masa depan gedung serbaneka adalah cerah namun sebagai pemain industri perlu sentiasa tampil bukan saja sebagai peruncit namun memenuhi destinasi sosial meliputi fesyen, gaya hidup, dan servis kepada pelanggan.
“Dalam memenuhi segala kehendak ini, syarikat sentiasa tampil dengan perancangan menawarkan pelbagai rangkaian produk dan servis khususnya medan selera berkonsepkan Jepun.
“Malah, kami turut mengetengahkan Minat Untuk Fesyen dan kebangkitan medium sosial media yang memberikan impak terhadap tabiat beli-belah khususnya dalam segmen fesyen di samping memperkenalkan lebih banyak jenama antarabangsa lain,” katanya.
Katanya, lima tahun akan datang adalah tempoh yang sangat bermakna dan menarik bagi Sogo Malaysia apabila syarikat hadir bersama pelaburan dan penampilan gedung baru yang lebih segar dari idea terkini Sogo.