Peng Soon, Yee See juara Terbuka Russia
Kuala Lumpur: Gandingan baru beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Cheah Yee See berjaya menepati sasaran yang ditetapkan oleh ketua jurulatih Chin Eei Hui apabila muncul juara Terbuka Russia semalam.
Peng Soon-Yee See yang dalam persiapan ke Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 bulan depan muncul juara selepas menang 11-8, 13-11, 11-3 ke atas Keiichiro Matsui-Akane Araki dari Jepun.
Menurut Yee See, ia adalah kejuaraan sulungnya di peringkat senior dan bertaraf Grand Prix Emas.
“Saya berasa amat gembira dan berterima kasih kepada pasangan saya (Peng Soon),” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.
Kejayaan itu menjadi pencetus semangat buat Yee See dalam penampilan sulung di Sukan SEA walaupun harapan untuk meraih emas lebih terarah kepada pasangan berpengalaman Goh Soon Huat-Shevon Lai.
Peng Soon yang memenangi perak dua tahun lalu di Singapura digandingkan bersama pemain muda untuk beberapa kejohanan termasuk Peck Yen Wei kerana pasangan tetapnya Goh Liu Ying terpaksa berehat panjang akibat pemulihan kecederaan.
Sementara itu, perseorangan wanita negara, Soniia Cheah yang turut disenaraikan di Sukan SEA bulan depan kalah kepada pilihan kedua, Evgeniya Kosetskaya.
Soniia yang juga pilihan utama kalah kepada wakil tuan rumah itu 9-11, 11-5, 5-11, 11-5, 4-11.
Nasib sama dialami gandingan beregu lelaki negara Chooi Kah Ming-Low Juan Shen apabila kalah dalam aksi akhir kepada gandingan berpengalaman tuan tumah Vladimir Ivanoz-Ivan Sozonov.
Mereka yang dalam persiapan ke Kejohanan Dunia di Glasgow bulan depan kalah kepada pilihan utama 6-11, 9-11, 5-11.