Hilmi jadi sandaran MBCC
Ipoh: Mixed Bike Cycling Club (MBCC) meletakkan sandaran kepada pelumba berpengalamannya Hilmi Mohammad, 61, yang akan bersaing dalam kategori Lelaki Senior Master pada Harian Metro Mountain Bike Grand Prix (HMMTB) siri pertama di Bukit Merah Lake Town Resort (BMLR), hujung minggu ini.
Hilmi pernah mencipta kejutan dalam beberapa kejohanan basikal lasak yang disertai termasuk terbaru menduduki tempat kelima ketika menyertai perlumbaan di Johor Bahru awal tahun ini.
Jurucakap pasukan MBCC, Hairul Azrie Abd Aziz berkata, Hilmi seorang pelumba berpengalaman yang menyertai pelbagai kejohanan lumba basikal lasak dan mempunyai daya ketahanan tinggi.
“Boleh dikatakan beberapa kejohanan yang disertai tidak menghampakan apabila sering menduduki tempat di antara peserta terbaik. Ia termasuk menduduki podium sebanyak empat kali ketika menyertai pertandingan di sekitar Melaka dan Negeri Sembilan,” katanya.
Hairul Azrie yang turut mengambil bahagian dalam Terbuka Lelaki berkata, pelumba pasukannya sering menyertai kejohanan yang dianjurkan Harian Metro sebelum ini begitupun bagi pelumbaan di Bukit Merah pihaknya hanya menyenaraikan dua pelumba memandangkan ada di antara pelumba menyertai kejohanan lain dan mempunyai komitmen masing-masing.
Sebagai persediaan mereka menjalani latihan lebih 30 kilometer setiap hari membabitkan laluan sekitar Lendu yang membabitkan 80 peratus laluan ‘offroad’, katanya.