Putrajaya pengeluar cili, rock melon
Projek perkongsian pintar bermula Februari lalu guna kaedah fertigasi
Kebiasaannya Putrajaya hanya dikenali sebagai pusat yang menjalankan aktiviti pentadbiran Kerajaan Persekutuan namun kini, wilayah berkenaan mampu menjadi salah satu pengeluar cili dan rock melon di negara ini.
Pelaksanaan projek tanaman cili dan rock melon secara usaha sama di Taman Wetland, Presint 13 itu adalah salah satu perkongsian pintar Putrajaya Floria Sdn Bhd (PFSB) dengan DHZ Resources Sdn Bhd.
Projek usaha sama itu bermula sejak Februari lalu dengan 21,352 pokok cili ditanam di tapak seluas 0.83 hektar manakala 8,747 benih pokok rock melon ditanam dengan keluasan tapak seluas 0.69 hektar.
Kedua-dua tanaman yang mengguna pakai kaedah fertigasi itu dipilih kerana ia dikatakan boleh membuahkan hasil yang lebih banyak berbanding kaedah biasa dalam tempoh singkat.
Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Seri Hasim Ismail berkata,
PSFB sebagai anak syarikat PPj mengorak langkah bijak apabila mereka berjaya menjana pendapatan sendiri untuk menanggung sebahagian kos operasi syarikat.
“Usaha ini bukan sahaja mendatangkan sumber pendapatan semata-mata, tetapi dapat memenuhi keperluan dasar negara dalam menyediakan sumber makanan yang mencukupi.
“Saya difahamkan, cili kulai hybrid 461 dipilih bagi projek ini kerana ia mampu memberi hasil yang tinggi iaitu dua hingga tiga kilogram (kg) cili sepokok dalam tempoh enam bulan sahaja.
“Selain itu, cili ini dipilih berdasarkan penghasilan bunga serentak yang memudahkan pengurusan dan penyelenggaraan tanaman serta penuaian hasil nanti.
“Cili berkenaan juga dipilih berdasarkan permintaan pengguna serta pemborong dengan harga purata hasil ladang adalah sekitar RM4.20 hingga RM5 sekilo manakala harga runcit di sekitar RM5 hingga RM20 sekilo mengikut harga pasaran semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan projek tanaman cili dan rock melon secara usahasama di Taman Wetland, Putrajaya, baru-baru ini.
Hadir sama, Pengarah Urusan Global Inter-Dream (M) Sdn Bhd, Datuk Abdul Halim Samad dan Ketua Pegawai Eksekutif Floria Diraja Putrajaya, Haslinda Khalid.
Hasim berkata, rock melon jenis glamor adalah antara keluarga rock melon yang paling diterima pasaran ketika ini dan ia dipilih kerana permintaan tinggi oleh pengguna samada secara terus kepada pelanggan atau kepada pemborong.
“Harga purata rock melon untuk hasil ladang di antara RM3.50 hingga RM4 manakala harga runcit di sekitar RM7 hingga RM8 sekilo. Sekiranya dibeli di pasar raya, harga sekilogram buah ini boleh mencecah sehingga RM10.
“Malah, PPj juga akan mempertimbangkan kawasan tambahan bagi penanaman cili dan rock melon bagi memperluaskan lagi projek berkenaan. Sekiranya projek ini berjaya, kita juga cuba kembangkan untuk tanaman lain,” katanya.
Beliau berkata, projek tanaman ini juga boleh menjadi salah satu aktiviti pelancongan tani atau agro pelancongan sekali gus mampu menjadi pemangkin kepada usahasama yang lebih besar.
“Kita boleh menjadikan projek tanaman ini salah satu daripada pakej pelancongan di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini. Mungkin ia boleh dimulakan dengan lawatan komuniti setempat atau pelajar sekolah di sini,” katanya.
Sekiranya projek ini berjaya, kita juga cuba kembangkan untuk tanaman lain
HASIM