Harian Metro

Kasino bertopeng snuker terbongkar

-

Kuala Lumpur: Buka perniagaan pusat riadah snuker sebagai ‘topeng’ bagi menyembuny­ikan kegiatan perjudian kasino dalam talian yang ditawarkan di sebuah premis di Jalan Sultan Azlan Shah di sini.

Bagaimanap­un taktik itu terbongkar apabila premis dua tingkat berkenaan diserbu sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul sebaik menerima maklumat daripada orang awam kira-kira jam 8 malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy berkata, pemeriksaa­n di premis berkenaan mendapati tingkat satu premis itu menempatka­n meja snuker manakala tingkat dua dijadikan sebagai pusat judi dalam talian.

“Hasil pemeriksaa­n lanjut, kami menemui 21 komputer yang dijadikan sebagai mesin judi dalam talian ditempatka­n di tingkat dua premis berkenaan, selain wang tunai dipercayai diperoleh daripada kegiatan itu.

“Kami turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun yang juga penjaga premis terbabit bagi membantu siasatan,” katanya.

Dalam serbuan berasingan, polis turut merampas 10 komputer yang dijadikan sebagai mesin judi dalam talian di sebuah premis di Taman Jinjang Baru, di sini, kira-kira jam 1.50 tengah hari, Sabtu lalu.

“Kami turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun yang bekerja sebagai penjaga premis berkenaan dalam serbuan itu selain merampas sejumlah wang tunai dipercayai diperoleh daripada kegiatan haram terbabit,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia