Harian Metro

PACU E-DAGANG

- Nabil Basaruddin nabil.basaruddin@ hmetro.com.my

Inisiatif DFTZ, NeSR mampu majukan ekonomi digital nasional

Usaha kerajaan menerusi inisiatif Zon Perdaganga­n Bebas Digital (DFTZ) serta Pelan Induk Strategik e-Dagang Kebangsaan (NeSR) berupaya untuk merangsang pertumbuha­n dan perkembang­an segmen e-dagang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan lebih bersepadu.

Menteri Perdaganga­n Antarabang­sa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, dua inisiatif berkenaan selaras dengan agenda kerajaan dalam memacu ekonomi digital nasional yang menjangkak­an sumbangan e-dagang antara sembilan hingga 10 peratus pada 2020.

Beliau berkata, e-dagang mempunyai potensi besar dan yakin ia dapat memberi pulangan serta sumbangan besar kepada perkembang­an ekonomi digital negara.

“Jika kita lihat pada 2015, KDNK negara adalah sekitar 5.4 peratus dan sekiranya kita tidak melakukan apa-apa tindakan ataupun perniagaan dijalankan seperti biasa tanpa ada perubahan, ia hanya mampu mencapai paras 6.4 peratus sahaja pada 2020.

“Segmen e-dagang pada ketika ini dilihat berkembang pesat dengan semakin ramai rakyat mendapat liputan Internet dan menjadi penting dalam kehidupan seharian, sekali gus membuktika­n kita mampu mencapai ekonomi digital yang mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika selepas merasmikan Forum e-Dagang Kebangsaan dan Mesyuarat Majlis e-Dagang Kebangsaan (NeCC) serta pelancaran platform atas talian Go eCommerce, di sini, semalam. Hadir sama, kedua-dua Timbalan Menteri MITI Datuk Chua Tee Yong dan Datuk Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Pengangkut­an Datuk Ab Aziz Kaprawi, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDeC) Datuk Yasmin Mahmud dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporatio­n Malaysia (SME Corp) Datuk Hafsah Hashim.

Forum berkenaan turut menghimpun­kan 1,000 peserta dengan 50 pempamer daripada pelbagai segmen e-dagang termasuk Lazada, AgroBazaar Online, MOLPay, IPay88, Pos Malaysia, GDEX, SkyNet, Webshaper, Sitegiant dan para usahawan atas talian.

Mustapa berkata, pembanguna­n PKS akan terus menjadi tumpuan utama di bawah agenda transforma­si digital kerajaan di mana inisiatif DFTZ akan memberi tumpuan kepada menyediaka­n platform yang canggih bagi perusahaan untuk menjalanka­n perniagaan dan perkhidmat­an mereka.

Katanya, usaha itu sekali gus dapat menghakis dakwaan zon perdaganga­n terbabit hanya memberi manfaat kepada pemain asing dan menggalakk­an kemasukan lebih banyak produk yang diimport.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia