Harian Metro

Petronas tidak teruskan projek di Port Edward

-

Kuala Lumpur: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan rakan kongsinya memutuskan untuk tidak meneruskan projek Pacific NorthWest LNG di Port Edward yang terletak di British Columbia, Kanada.

Naib Presiden Eksekutif dan juga Ketua Pegawai Eksekutif Huluannya, Anuar Taib berkata, keputusan itu dibuat selepas kajian semula yang teliti dan menyeluruh dibuat bagi projek berkenaan berikutan perubahan keadaan pasaran.

“Kami kecewa dengan persekitar­an yang sangat mencabar disebabkan krisis harga yang berpanjang­an dan perubahan dalam industri tenaga, menyebabka­n syarikat mengambil pilihan membuat keputusan itu.

“Kami bersama-sama rakan kongsi usaha sama, North Montney kekal komited untuk membangunk­an aset gas asli kami yang penting di Kanada dan akan terus meneroka semua pilihan sebagai sebahagian daripada strategi pelaburan jangka panjang kami,” katanya dalam kenyataan, di sini, semalam.

Komitmen Petronas di Kanada diteruskan melalui Progress Energy Canada Ltd dan inventori sumber gas asli yang bertaraf dunia di mana anak syarikat itu memainkan peranan penting dalam menyokong strategi pertumbuha­n syarikat minyak nasional itu di Amerika Utara.

“Kami dan rakan kongsi projek berterima kasih di atas sokongan diterima daripada semua terbabit, khususnya wilayah First Nations, Daerah Port Edward, bandar Prince Rupert dan komuniti mereka atas pembabitan serta usaha mereka yang tidak ternilai dalam projek ini,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia