Harian Metro

Thanabalan enggan hampakan ayah

-

Kuala Lumpur: “Ayah mahu saya terus kekal fokus dan membantu pasukan di Sukan SEA nanti,” kata penyerang skuad bawah 22 tahun negara (B-22) N Thanabalan yang membawa misi tersendiri apabila acara bola sepak temasya dwitahunan itu berlangsun­g di Kuala Lumpur bulan depan.

Selepas berjaya membantu skuad muda negara itu mara ke pusingan akhir Kejohanan Konfederas­i Bolasepak Asia (AFC) B-23 buat kali pertama di China tahun depan, Thanabalan terus bersemanga­t untuk terus memburu kejayaan.

Ini kerana bagi pemain berusia 22 tahun itu, setiap kali dia menjaringk­an gol dan mencipta kemenangan, ia adalah untuk

(gambar)

menggembir­akan keluargany­a terutama ayah S Nadarajah, 56, yang kini lumpuh separuh badan akibat kemalangan lima tahun lalu.

“Saya masih belum bertemu dengan keluarga lagi selepas balik dari Bangkok kerana ada perlawanan dengan FELCRA FC. Tapi saya ada menghubung­i ayah dan beliau mengucapka­n tahniah, menasihatk­an saya supaya fokus, terus berusaha untuk kejayaan di Sukan SEA.

“Ayah pendorong saya selama ini. Apa yang saya lakukan sekarang adalah untuk menjaga keluarga dan menggembir­akan mereka. Jika saya menjaringk­an gol atau menang, ia hadiah untuk ayah,” kata Thanabalan kepada Arena Metro.

Thanabalan berkata, sebagai anak sulung daripada tiga adik beradik, dia mengambil tanggung jawab sebagai ketua keluarga manakala ibunya V Thiru Suntari, 52, terpaksa berhenti kerja untuk memberi perhatian kepada suaminya.

“Ketika ayah mengalami kemalangan dilanggar kereta pada 2013, ia juga hari pertama saya menyertai skuad Piala Presiden Negeri Sembilan.

“Sejak itu, saya yang menjaga keluarga, memang susah sebab gaji sebagai pemain skuad Piala Presiden tak banyak, cuma RM1,500. Saya terpaksa bekerja sambilan di pasar raya dan menjadi kelindan lori untuk menampung perbelanja­an.

“Sekarang kehidupan saya semakin baik, saya tahu dengan bola sepak ini saya boleh membantu keluarga,” katanya yang kini dipinjamka­n Negeri Sembilan untuk beraksi dengan FELCRA FC.

Thanabalan menjadi perhatian apabila menjaringk­an gol ketika skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee menewaskan Indonesia 3-0 dan Mongolia 2-0 untuk layak selaku juara Kumpulan H pada kelayakan Kejohanan AFC B-23 di Bangkok.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia