Harian Metro

Jual nama artis

- Mohd Firdaus Ibrahim firdaus_ibrahim@ hmetro.com.my

 Sindiket penipuan skim pelaburan bergerak lebih kompleks tawar aset termasuk emas

Sindiket penipuan skim pelaburan menjadikan Skim Labu Peram yang diasaskan Pak Man Telo atau nama sebenarnya Osman Hamzah sebagai model dalam menjayakan agenda bagi memperdaya­kan mangsa.

Bagaimanap­un sindiket penipuan kini bergerak dengan lebih kompleks berbanding skim diasaskan Pak Man Telo termasuk ‘menjual’ nama artis dan golongan profesiona­l bagi meyakinkan mangsa.

Perkara itu diakui Pakar Kriminolog­i Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaa­n, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Mohammad Rahim Kamaluddin yang berkata, sindiket penipuan berasaskan skim pelaburan kini bergerak lebih kompleks.

“Jika dulu individu yang membuat pelaburan akan dibayar keuntungan­nya dalam tempoh tertentu seperti Skim Pak Man Telo. Kini, sindiket terbabit menjadikan­nya lebih kompleks dengan menawarkan aset tertentu seperti emas sebagai cagaran pelaburan mereka itu. Sebagai contoh, labur wang dapat emas.

“Usaha ini dilakukan bagi meyakinkan mangsa untuk melabur,” katanya ketika diminta mengulas laporan muka hadapan Harian Metro, semalam.

Menurutnya, bagi menambah lagi keyakinan pelabur atau mangsa, sindiket akan menggunaka­n golongan artis, kenamaan, selebriti atau profesiona­l sebagai ejen mahupun pelabur utama mereka.

“Masyarakat kita bila lihat artis atau doktor turut membuat pelaburan (golongan perintis), mereka terus melabur tanpa melakukan sebarang kaji selidik. Natijahnya mereka tertipu apabila pelaburan dilarikan,” katanya.

Mohammad Rahim berkata, masyarakat perlu sedar bahawa tiada skim pelaburan yang mampu menjanjika­n pulangan lumayan dalam masa singkat.

“Sindiket itu sendiri hanya akan kekalkan skim pelaburan dalam tempoh enam bulan atau setahun sebelum melarikan diri. Pelaburan mereka bukanlah kekal sebaliknya akan lari apabila keuntungan tertentu diperoleh,” katanya.

Menurutnya, dalam memastikan masyarakat terselamat daripada menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan, sikap atau mentaliti untuk mendapatka­n wang dengan cara mudah perlu dihapuskan sama sekali.

“Masyarakat kini perlu buang sikap nak kaya cepat tanpa usaha. Mana mungkin ada orang akan beri wang kepada kita dengan mudah tanpa mendapat faedah tertentu. Jadi, sebelum membuat sesuatu pelaburan, masyarakat perlu membuat kajian terlebih dulu dengan merujuk pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia dan Bank Negara.

“Semakan juga boleh dilakukan di media sosial kerana skim pelaburan yang dilakukan pasti akan dikongsi atau diuar-uarkan di medium berkenaan. Jadi, jika ada penipuan berlaku, pasti mangsa akan berkongsi kisahnya,” katanya.

Sumber Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman berkata, pihaknya boleh membuka semula kertas siasatan atau mengesan proksi sekiranya ada maklumat mengenainy­a.

Harian Metro semalam melaporkan baki ‘harta pusaka’ Pak Man Telo yang terkenal dengan skim cepat kaya popular pada 1980-an dipercayai masih wujud dalam bentuk hartanah di luar negara dianggarka­n bernilai puluhan juta ringgit.

 ??  ?? DR Mohammad Rahim
DR Mohammad Rahim
 ??  ?? LAPORAN Harian Metro, semalam.
LAPORAN Harian Metro, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia